Salman Hussin Mon Apr 30, 07 12:44:49 PM
MUAR, 30 April (Hrkh) – Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, menyifatkan Pilihan Raya Kecil Dun Ijok baru-baru ini sebagai yang paling buruk dalam sejarah pilihanraya di negara ini.
Pilihan raya kecil ini menyaksikan pencabulan amalan demokrasi yang dilakukan Umno-Barisan Nasional (BN) secara terang-terangan tanpa sedikit pun merasa malu atau bersalah, katanya di sini.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Muar yang diadakan di Parit Pecah, dekat sini semalam.
Pada pilihanraya kecil N11 ini, calon Parti KeADILan Rakyat, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mendapat 4,034 undi dan calon BN, K.Parthiban pula mendapat 5,884 undi, manakala undi rosak 134, Parthiban menang dengan majority 1,850 undi.
Katanya, pilihanraya kecil Ijok ini menyaksikan bagaimana Umno-BN memperguna dan memperkudakan sepenuhnya agensi-agensi kerajaan seperti Polis, SPR serta seluruh jentera kerajaan negeri dan pusat untuk membantu kempen mereka.
“Bahkan bukan saja jentera kerajaan ini digunakan untuk kempen mereka malah lebih memalukan lagi bila polis dan SPR ini digunakan untuk menghalang dan menyekat kebebasan pemimpin dan juga jentera pembangkang untuk berkempen.
Katanya lagi, selain itu pemuda BN yang dikepalai pemuda Umno juga sentiasa mengganggu dan mengugut petugas-petugas kita yang hendak berjumpa rakyat, bahkan bukan setakat itu saja, mereka bertindak ganas dengan memukul dan mencederakan petugas PAS.
“Kita cuba untuk mendapatkan bantuan polis bagi menyelesaikan insiden-insiden yang berlaku ini tetapi amat malang sekali apabila polis pun turut menyebelahi mereka.
Menurutnya, media juga turut memainkan peranan yang sangat penting dan berkesan bagi memenangkan BN, semua media cetak dan elektronik yang mereka kuasai digunakan semaksimum mungkin untuk berkempen sebaliknya hak pembangkang untuk mendapat layanan yang sama dinafikan sama sekali.
Hanya isu-isu negatif membabitkan pembangkang ditonjolkan oleh media berkenaan sebaliknya perkara-perkara yang positif disembunyikan dari pengetahuan rakyat, media yang tidak bermaruah ini terus menonjolkan kebaikan Umno-BN dan menyembunyikan semua kebobrokan mereka.
“Inilah kemuncak pencabulan amalan demokrasi di negara ini, oleh kerana mereka begitu takut dan cemas dengan pengaruh peribadi Tan Sri Khalid yang begitu dikenali oleh semua kaum di negara ini telah mendorong Bn melakukan perbuatan tidak bermaruah dan keji ini yang sekaligus telah membelakangkan sama sekali amalan demokrasi, tegasnya. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment