Tuesday, April 17, 2007

Dun Ijok: KeADILan keluar profil Tan Sri Khalid

Harakahdaily Tue Apr 17, 07 03:59:10 PM
KUALA LUMPUR, 17 April - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi melampirkan profil Bendahari Agungnya, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim sebagai antara pilihan calon di pilihan raya kecil Dun Ijok pada 28 April kelak.
Berikut adalah profil penuh yang disampaikan;
Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim, dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan kebanggaan penduduk di kawasan tersebut dari dulu hingga kini.
Khalid Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar 1956 dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Beliau seterusnya menyambung pelajaran di sebuah sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.
Beliau kemudiannya lulus dengan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia.
Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini Pengerusi Dana Amanah Mellenia Berhad dan ahli lembaga pengarah Sirim Berhad. Khalid Ibrahim juga dilantik sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam Jeddah, sebuah syarikat pelaburan kewangan Islam yang tersohor.
Beliau juga merupakan Fellow Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Bekas guru dan pensyarah institut pengajian tinggi ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).
Penduduk Kuala Selangor selalu mengingati jasa Khalid Ibrahim yang membina pusat latihan penyelenggaraan jentera perindustrian dengan kerjasama UMW Berhad di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan kepada remaja miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan sebagai tenaga kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun 1994 sehingga kini.
Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang di Guthrie Berhad, dan diajar kemahiran komunikasi dan kemahiran asas pejabat bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana syarikat.
Kedua-dua program ini berjaya menaik taraf kehidupan penduduk sekitar Kuala Selangor termasuk Ijok.
Atas kesedaran bahawa perubahan politik amat penting dalam memperbetulkan sistem sosio ekonomi negara ini, Khalid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2006 dan dilantik sebagai Bendahari Agung, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Selangor dan Ketua Bahagian Kuala Selangor sehingga kini.
Menaikkan taraf kehidupan rakyat dan pendidikan anak-anak muda menjadi keutamaan Khalid Ibrahim. Dibesarkan di Kuala Selangor, sekiranya beliau dipilih sebagai wakil penduduk Ijok, beliau akan berusaha untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk Ijok dengan memperkenalkan program-program ekonomi, sosial dengan penekanan khusus kepada maju diri dan pendidikan belia, supaya Ijok menjadi contoh DUN terbaik dan termaju dalam Parlimen Kuala Selangor.

No comments: