Roy Rasul Tue Apr 17, 07 01:33:20 PM
KUALA LUMPUR, 17 April (Hrkh) – Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan secara rasmi calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada malam ini di pejabat KeADILan, Pekan Batang Berjuntai, Selangor.
Ahli Majlis Tertinggi (MPT) KeADILan, Mustafa Kamil Ayub yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, pengumuman tersebut akan mengesahkan calon KeADILan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok, pada 28 April ini.
“Apabila diumumkan secara rasmi oleh Dato Seri Anwar kira-kira jam 8.30 malam nanti akan terjawab siapa calonnya,” katanya.
Katanya, pada mesyuarat khas MPT parti baru-baru ini dua nama diputuskan iaitu Bendahari Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dato’ Nala Kurappan.
“Dua calon terakhir dicadangkan sewaktu mesyuarat MPT khas itu ialah Tan Sri Khalid dan Dato’ Nala, jadi malam ini akan diumumkan secara rasmi siapa di antara dua ini,” katanya.
Pilihan raya kecil Ijok diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dato’ K Sivalingam, 59, pada 4 April lalu.
Calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan semalam oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo ialah K Parthiban, 39 tahun.
Sementara itu, ditanya mengenai persiapan partinya bagi hadapi pilihan raya tersebut, Mustafa menjelaskan bilik gerakannya sudah menggerakkan jenteranya di setiap peti undi.
Malah katanya, semua KeADILan negeri di seluruh negara diberikan tugas masing-masing untuk bersama-sama membantu jentera pilihan raya tempatan khasnya di segi pengendalian bilik gerakan.
Bercakap mengenai pergolakan dalaman MIC berhubung pemilihan calonnya bagi mewakili BN katanya beliau yakin pergolakan itu akan memberi kesan.
Namun katanya apa yang lebih penting sama ada pergolakan dalam MIC mahupun Umno, partinya tetap akan menumpukan pada kekuatan jentera parti.
“Kekuatan tersebut termasuk sokongan yang kita perolehi sama ada daripada PAS mahupun DAP dalam bersama membantu kempen pilihan raya nanti,” katanya. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment