Intan Abdullah Mon Apr 30, 07 11:46:05 AM
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengutuk tindakan ganas samseng-samseng Umno yang menyerang dan merompak petugas-petugas Pilihanraya BA dalam pilihan raya kecil N.11 Dun Ijok yang lalu.
Pemuda Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan mereka yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini, mendesak agar pihak Polis membuat tangkapan dan menyiasat kes terbabit.
Menurut Ketua Pemudanya, Kamaruzaman Mohamad beliau mahu agar pemimpin Umno meminta maaf dan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Mangsa kejadian iaitu seorang pemuda PAS dari Hulu Langat, Nazar Abdul Latif dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut kejadian tersebut.
Menurut beliau, pada pukul 6.15 pagi, 28 April 2007 iaitu pada pagi hari pengundian selepas menunaikan solat subuh beliau dan lima orang petugas lain melihat satu banner yang tertulis “Anwar Agen Yahudi” digantungkan ditepi jalan, tidak jauh dari Bilik Gerakan Pilihan Raya BN yang dihuni oleh ahli Umno Klang.
Pemuda-pemuda cuba menurunkan banner berkenaan. Namun sebelum sempat banner diturunkan, seramai lebih 40 orang petugas Umno Klang dari dalam longkang yang berhampiran menyerang mereka.
Rupa-rupanya samseng Umno ini sengaja memasang banner tersebut sebagai perangkap dan bersembunyi di dalam longkang sambil menantikan mangsa mereka.
Mereka sanggup tidak bersolat subuh semata-mata untuk melakukan tindakan keji tersebut. Petugas Umno yang berusia sekitar 20-40 tahun ini menyerang mereka beramai-ramai dengan bersenjatakan kayu dan belantan.
Dalam keadaan panik, tiga orang dari petugas PAS ini sempat melarikan diri dengan sebuah kereta menuju ke balai polis berhampiran.
Nazar bersama dua orang lagi petugas iaitu Abu Bakar dan Mat Jan dipukul beramai-ramai tanpa belas kasihan ditengah-tengah jalan.
Beberapa kenderaan yang lalu cuba berhenti untuk membantu, namun mereka terpaksa memecut laju bila mana samseng Umno ini membaling kayu panjang ke arah mereka sebagai amaran untuk tidak masuk campur.
Sebuah kereta kancil terkena kayu berkenaan dan pemandunya telah membuat laporan di balai polis berdekatan yang teletak hanya 50 meter dari tempat kejadian.
Beberapa anggota polis tiba setelah menerima dua laporan. Apa yang mengecewakan adalah sikap pegawai polis tersebut kerana tidak berbuat apa-apa.
Mereka hanya memerhatikan ahli-ahli Umno ini memukul petugas PAS berkenaan sehingga mereka lemah dan tidak berdaya untuk bangun.
Kenderaan mangsa juga rosak teruk kerana dipecahkan dan duit sebanyak RM 1,000 bersama telefon bimbit mereka turut dirampas oleh samseng-samseng Umno ini.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan oleh 3 orang sahabat mereka. Mat Jan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar. Nazar pula menerima 16 jahitan di kepala, manakala Abu Bakar telah ditahan di hospital kerana pendarahan di telinga kesan dari hentakan yang kuat dan beliau telah dibenarkan keluar hospital pada awal pagi 29 April 2007.
Laporan Polis telah dibuat sekali lagi selepas itu di Balai Polis Ijok, namun pegawai polis di situ enggan menerima laporan berkenaan dan menasihatkan mereka membuat laporan di Balai Polis Batang Berjuntai.
DPPWP amat kesal kerana pihak polis masih lagi tidak mengambil apa-apa penangkapan atau siasatan terhadap kes ini walaupun telah ada tiga laporan yang dibuat.
Tegas Kamaruzaman, sikap Polis yang bersubahat dengan samseng Umno ini amatlah memalukan dan mencemarkan nama baik institusi PDRM diseluruh negara.
DPPWP menyifatkan samseng-samseng ini sebagai manusia bacul yang tidak berakal kerana bertindak liar, malah lebih buruk dari haiwan kerana menyerang tiga orang petugas PAS yang tidak bersenjata secara beramai-ramai.
Beliau menganggap pemuda Umno ini hanya berani berdepan dengan ahli PAS bila mereka ramai, tetapi petugas PAS bersedia menghadapi mereka walaupun tidak ramai. v Justeru, DPPWP menggesa agar seluruh ahli PAS melakukan solat hajat agar Allah menunjukkan kuasanya kepada samseng-samseng Umno yang bacul ini. -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment