Wan Nordin Wan Yaakob, Saidah Hairan & Roy Rasul Thu Apr 19, 07 09:49:36 AM
BATANG BERJUNTAI, 19 April (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) seolah terdesak apabila di saat akhir dilihat cuba untuk menyekat pencalonan daripada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dengan taktik kotor dengan menyekat perarakan calon KeADILan ke pusat penamaan calon sebentar tadi.
Proses penamaan calon hari bagi pilihan raya kecil Dun Ijok baru sahaja bermula pada jam 9 pagi tadi.
Petugas Harakahdaily yang berada di pusat penamaan calon melaporkan, sebelum ini sekitar jam 9.15 pagi tadi berlaku kekecohan apabila para penyokong MIC dari komponen Barisan Nasional (BN) cuba menyekat perarakan calon KeADILan daripada masuk ke pusat penamaan calon.
Kejadian dilaporkan berlaku di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Batang Berjuntai, walaupun demikian kekecohan tersebut dapat diselesai.
Selain itu, sebanyak tujuh buah trak Pasukan Polis Persekutuan (FRU) pula dibawa masuk ke kawasan Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai yang dijadikan tempat penamaan calon untuk pilihan raya ini sebentar tadi.
FRU didapati masuk ke kawasan bekenaan bagi mengepung orang ramai khusus penyokong KeADILan.
Selain itu, isteri calon KeADILan, juga dilaporkan tidak dibenarkan masuk untuk mengiringi suaminya.
Bagaimanapun, para lebih 3000 penyokong Barisan Nasional (BN) yang datang untuk menyokong calon mereka mendapat tempat yang agak selesa.
Keadaan ini yang menimbulkan sedikit kekecohan di antara penyokong KeADILan dan BN sehingga suasana menjadi hingar-bingar.
Sebelum itu pada jam 10.00 pagi tadi calon KeADILan telah masuk ke dewan diiringi seorang penyokong dan seorang pencadang iaitu Abdul Rahman Maharom dan Muhamad Yusuf Abdul Rahim.
Calon BN pula diiringi oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo; Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim.
Antara pimpinan yang kelihatan adalah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar; Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Kamarul Baharin, Mustafa Kamil Ayub, Azmin Ali dan para pimpinan daripada Angkatan Muda KeADILan.
Dianggarkan lebih 2,000 penyokong KeADILan berkumpul dan turut dalam perarakan tersebut.
Pilihan raya kecil Ijok diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dato’ K Sivalingam, 59, pada 4 April lalu.
KeADILan diwakili oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 61 manakala BN menamakan setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang, K Parthiban, 38, sebagai calonnya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment