Sunday, April 15, 2007

Umno dengki, berprasangka jahat terhadap pimpinan Islam

Saidah Hairan Sun Apr 15, 07 01:27:56 PM
KUALA LUMPUR, 15 April (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan terhadap perjuangan PAS yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk menyampaikan kebenaran serta menegakkan ajaran agama suci itu.
Menurut beliau, pejuang PAS perlu bekerja keras untuk menonjolkan Islam di bandar-bandar besar berbanding di Kelantan.
Namum katanya, Islam seolah-olah sukar untuk ditegakkan di Kuala Lumpur khususnya di Gombak.
Beliau berkata, Umno sering menyebut bahawa Islam sukar untuk ditegakkan di Malaysia disebabkan rakyatnya berbilang bangsa dan agama.
"Punya celaka fikiran orang seperti ini," katanya ketika merasmikan mesyuarat PAS Kawasan Gombak bagi kali ke-12, di Dewan Dato' Fadzil Noor, Taman Melewar, pagi tadi.
Beliau turut menyelar sikap pimpinan Umno yang sering mencari kesalahan atau kelemahan kerajaan negeri Kelantan yang tidak pernah mencapai kemajuan sejak diterajui PAS.
Katanya, tuduhan itu menunjukkan bahawa pimpinan Umno mempunyai sikap dengki dan sering bersangka jahat dengan kepimpinan Islam.
Selain itu beliau turut mengingatkan ahli PAS supaya menjadikan kepimpinan para nabi khususnya Nabi Muhammad s.a.w. sebagai ikutan.
Tambah beliau, PAS berpolitik bukan meniru cara parti lain tetapi PAS meniru cara Nabi Muhammad s.a.w. berpolitik dengan mengamalkan segala suruhan Allah SWT.
"Antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan pemimpin amat berbeza. Pemimpin Melayu dilantik oleh orang Melayu begitu juga dengan pemimpin bangsa lain tetapi Nabi Muhammad s.a.w. dilantik oleh Allah SWT," katanya.
Oleh itu tambah beliau, rakyat berhak dan mempunyai kuasa untuk menggulingkan mana-mana pemimpin yang tidak mengamalkan ajaran sebagaimana yang dilakukan oleh para nabi. - mks.

No comments: