Azamin Amin dan Anis Nazri Wed Apr 25, 07 06:42:31 AM
IJOK, 25 April (Hrkh) - Tidak cukup dengan pelbagai janji manis ditabur pemimpin Barisan Nasional, gumpalan jutaan wang rakyat bertaburan di merata-merata, projek menurap jalan dan parit panjang, keresahan BN semakin menyerlah apabila kempen pilihan raya yang dibenarkan selama sembilan hari juga akhirnya dicabuli untuk memastikan pembangkang khususnya KeADILan diasak hebat dan kecundang pada pusingan pertama.
Ini terbukti apabila dua insiden semalam diganggu polis di dua tempat ceramah yang berasingan.
Kejadian pertama berlaku di Restoran Hai Yee Tian, Simpang Tiga Ijok pada jam 8.30 malam, di mana pemimpin DAP, YB Tan Seng Giau (Ahli Parlimen Kepong) dan YB Chong Eng (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) telah didatangi seorang pegawai polis yang dikenali sebagai ASP Ng meminta ceramah yang bakal diadakan di situ dibatalkan serta-merta.
"If you can show me the valid assembly permit, you can proceed, simple as that," kata ASP Ng kepada YB Tan,namun dibantah seorang peguam Latheefa Koya bahawa pihak penganjur sudah pun memohon untuk mengadakan permit pada malam itu, termasuk di enam kawasan yang berasingan.
Dalam keadaan kelam kabut, orang ramai yang hadir kira-kira 200 orang melaungkan rasa tidak puas hati atas tindakan pihak polis yang berat sebelah, sedangkan di seberang jalan, satu lagi ceramah BN yang diadakan di Restoran Cheng Sung tidak mendapat sebarang gangguan.
Ceramah yang diadakan oleh BN tersebut hanya dihadiri sekitar 50 orang walaupun jamuan makan malam tersebut telah ditaja secara percuma.
Sungguhpun begitu, YB Tan tetap meneruskan ceramahnya di hadapan orang ramai,sambil meminta pihak polis melayan semua pihak secara adil tidak kira sama ada pihak parti pemerintah mahupun parti pembangkang dan tetap berpegang kepada motto profesional polis iaitu cekap, mesra dan beramanah.
"Pisang sesikat susu sebelanga, tanda muafakat bersama-sama," dengan pepatah melayu YB Tan mencuit hati para hadirin yang majoritinya berbangsa Tiong Hua yang tekun dan bersemangat mendengar ucapan beliau.
Selang 15 minit, secara tiba-tiba pihak penganjur telah dimaklumkan bahawa permit kemudian diluluskan 'secara mudah' oleh pihak polis dan ramai yang menyifatkan usaha awal menghalang cermah tadi adalah sebagai tindakan provokasi polis serta cubaan psikologi untuk menakut-nakutkan pengundi yang hadir pada setiap ceramah pemimpin pembangkang.
Pekan Batang Berjuntai 'disergah' FRU
Sementara itu, di pekan Batang Berjuntai, satu lagi ceramah KeADILan diganggu polis dengan sebuah 'water cannon' dan lima trak FRU, bersama dengan kekuatan kira-kira 100 anggota FRU dan polis.
Keadaan itu menyebabkan jalan raya di situ menjadi sesak apabila pihak polis bertindak menyekat jalan tersebut.
Ceramah tersebut diadakan di perkarangan kedai motosikal Seng Koe Trading, berhadapan Sekolah SRJK (C) Yuk Chih.
"Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa KeADILan telah menang di Ijok. Ini adalah provokasi polis. Kita akan bersurai secara aman kerana kita rakyat yang mematuhi undang-undang," tegas Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali yang turut berucap di majlis tersebut.
Turut kelihatan bersama beliau ialah Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.
Dalam keadaan tegang itu, orang ramai yang hadir kira-kira 150 orang bersurai secara aman walaupun dengan rasa tidak puas hati dan marah atas kebiadapan pihak polis membatalkan ceramah seterusnya menyekat kempen pilihan raya parti KeADILan.
Difahamkan, polis bertindak menghentikan tiga ceramah KeADILan di Ijok malam tadi kerana mendakwa ianya diadakan tanpa kebenaran manakala, tiga lagi ceramah KeADILan, yang tidak mendapat permit polis, berjalan seperti yang dijadualkan.
Khidmat rawatan percuma BA dihalang petugas BN
Sebelum itu pada sebelah paginya, satu insiden yang tidak diingini telah berlaku ekoran bimbang dengan khidmat masyarakat yang dilakukan BA dalam kempen pilihan raya kecil Ijok, penduduk dan petugas BN di Kampung Rantau Panjang, bertindak menghalau sekumpulan doktor BA tersebut yang ingin melakukan khidmat kesihatan percuma kepada penduduk di kampung tersebut.
Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo' Ghazali, Dr Rainey Azmi dan beberapa doktor lain serta pembantu mereka telah dikepung dan dihalau keluar dari kampung berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Dr Lo'Lo' dan rakan-rakannya mula memasuki kampung berkenaan dan mula menyusun ubat-ubatan di salah sebuah rumah penduduk kampung berkenaan.
Bagaimanapun, tiba-tiba seorang lelaki muncul dan meminta mereka keluar dari kampung tersebut, diikuti beberapa penduduk kampung yang memakai t-shirt BN, termasuk wanita sambil melemparkan kata-kata kesat.
Tidak cukup dengan itu, mereka bertindak menendang kerusi dan meja di sekitar rumah tersebut bagi menghalau Dr Lo' Lo'. Dipercayai beberapa petugas wanita BN turut menghalau mereka.
Sehubungan itu, Dr Lo' Lo' membuat laporan polis di Balai Polis Batang Berjuntai, pada jam 1 petang, dan laporan itu diterima seorang pegawai balai tersebut, Segar a/l Retnam.
Sementara itu, Dr Lo' Lo' yang ditemui selepas itu, di Kampung Bukit Badong untuk khidmat kesihatan percuma BA, berkata tindakan itu menunjukkan sikap tidak rasional penduduk dan petugas BN.
"Kita bukan buat apa-apa. Kita cuma mahu agihkan ubat. Tepulanglah nak undi siapa. Apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati demokrasi di negara ini," tegas beliau.
Siapa Ispani?
Sementara itu, ketika tinjauan Harakahdaily di Bilik Gerakan Besar BA di Ijok, mendapati wujudnya keraguan dalam daftar pemilih apabila kad pengenalan seorang pengundi menimbulkan tanda tanya sama ada beliau berumur lapan tahun atau 108 tahun.
Pengundi berkenaan yang dikenali sebagai Ispani Mohd Rejo, dari Bukit Badong, memiliki nombor pengenalan 990518-61-0029, dengan nombor lokalitinya 096/11/0/00 Bukit Badong.
Berdasarkan identiti berkenaan, keraguan timbul sama ada beliau dilahirkan pada tahun 1999 atau 1899. Sekiranya beliau lahir pada tahun 1999, umur beliau ketika mengundi 28 April ini baru mencecah lapan tahun, manakala berumur 108 tahun sekiranya lahir pada 1899.
Petugas BA di bilik gerakan itu menjelaskan kemungkinan besar Ispani berumur 108 tahun, dan telah meninggal dunia, bagaimanapun namanya tidak dikeluarkan dari daftar pemilih.
Ini kerana katanya, selain dari nombor kad pengenalan baru, Ispani turut memiliki nombor kad pengenalan lama, 1203758, yang biasanya dimiliki oleh rakyat Malaysia sebelum diperkenalkan Mykad.
Harakah dimaklumkan, pengesahan identiti Ispani itu hanya boleh dikenalpasti pada hari mengundi, di mana 'Polling Agent' dan 'Counting Agent' (PACA) yang bertugas melakukan pemeriksaan lanjut.
Ispani dikenalpasti akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, dengan nombor siri 1913, di saluran empat yang merupakan saluran bagi pengundi baru.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment