Azamin Amin Fri Apr 13, 07 02:33:34 PM
KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sungguh bersemangat untuk membeli jet eksekutif walaupun telah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak dan rakyat termasuklah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.
Semalam menjawab soalan Ahli Parlimen Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pada sidang dewan rakyat, Abdullah berkata proses membeli pesawat eksekutif atau Airbus Corporate Jet untuk kegunaan pemimpin negara dan orang kenamaan masih di peringkat awal perundingan.
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS, Haji Mahfuz Omar yang mengulas hal terbabit berkata ternyata Perdana Menteri lebih mengutamakan kepentingan sendiri sedangkan keperluan rakyat dalam keadaan ekonomi yang meruncing ini diabaikan sama sekali
"Sanggup Abdullah menggunakan wang pembayar cukai sejumlah RM200 juta dan mengabaikan keperluan 25 juta rakyat negara demi kepentingannya sehdiri," katanya ketika menghubungi Harakahdaily
Beliau yang kesal dengan kenyataan tersebut menunjukkan Abddullah masih bersemangat dalam membazirkan wang negara yang sewajarnya disalurkan kepada yang lebih mmerlukan.
Adalah lebih mulia katanya sekiranya Abdullah menyalurkan sebahagian daripada jumlah wang pembelian jet tersebut umpamanya sekitar RM100 juta kepada dana pendidikan negara supaya semua pelajar sekolah di seluruh negara tanpa mengira latar belakang yang kaya mahupun miskin untuk mendapat buku teks secara percuma atau lebih baik membantu rakyat yang dilanda musibah akibat bencana alam baru di Johor dan Putrajaya baru-baru ini.
Abdullah hanya pandai nasihat rakyat
Tetapi dengan rundingan ini kata Mahfuz secara sinis, jelas Abdullah tidak memahami kaedah Matematik kerana pembelian tersebut tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada negara walaupun dibeli oleh anak syarikat milik kerajaan dan menganggap satu pembaziran kepada negara.
"Lebih mendukacitakan, dalam Abdullah dan kerajaan menyarankan supaya rakyat berjimat cermat berbelanja,namun sikap yang ditunjukkan adalah sebaliknya," kata AJK PAS pusat itu.
"Maknanya kerajaan tidak kisah selama ini memandangkan segala derita, rakyat yang tanggung namun tidak bagi para pemimpin negara," katanya lagi.
Beliau dengan tegasnya menggesa supaya kerajaan menghentikan rundingan tersebut seterusnya membatalkan pembelian jet eksekutif yang jelas akan merugikan kerana keperluan yang tidak setimpal malah melibatkan jumlah wang rakyat jelata begitu besar.
Abdullah sebelum ini, pada 29 Januari tahun ini berdasarkan laporan Bernama menafikan kononnya beliau membeli jet eksekutif, dengan menjelaskan kerajaan hanya menyewa pesawat itu daripada Penerbangan Malaysia Berhad.
Laporan menyebut bahawa jet eksekutif tersebut adalah jenis Pesawat VIP ACJ 319 keluaran Airbus, dianggarkan bernilai antara US$55 dan US$60 juta iaitu sekitar RM200 juta.
Sementara itu, dalam blog A Kadir Jasin menjelaskan bahawa setakat ini kerajaan telah membiayai pembelian 4 buah kapal terbang ekseklusif seperti Boeing Business Jet, Bombardier Global Express, Dassault Falcon 900B dan Fokker F-28.
Menurut Kadir sehingga kini keempat-empat kapal terbang itu masih meneruskan operasi penerbangannya malah kerajaan masih membayar penyelenggaraan kapal terbang tersebut yang dikendalikan oleh VIP No2 Squadron Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment