Salmiyah Harun Thu Apr 12, 07 08:26:33 AM
KOTA BHARU, 12 April (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan melantik peguam bagi meneliti dan mengkaji terma-terma perjanjian sebelum tahun 1990 di antara Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan pemaju projek tanah tinggi Lojing.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media ringkas selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim tengah hari semalam.
Dalam sidang media itu, beliau memberitahu pelantikan peguam itu bertujuan untuk melihat sama ada berlakunya pelanggaran syarat Kajian Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA).
"Jika perlu kita akan kenakan tindakan, itulah kaedahnya yang sebenar," katanya mengakhiri sidang media itu.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancang Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, kerajaan negeri telah memutuskan agar Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berjumpa dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Azmi Khalid secepat mungkin.
Tujuan perjumpaan itu, katanya untuk membincangkan kelemahan-kelemahan penguatkuasaan berkenaan isu alam sekitar.
Husam berkata, dalam pertemuan itu juga SUK akan mengemukakan tindakan yang telah dibuat oleh Kerajaan Kelantan dalam kes Lojing.
Katanya, mesyuarat Exco semalam juga telah memutuskan kekurangan pegawai JAS di negeri itu menyebabkan JAS lambat bertindak ke atas kemusnahan yang berlaku di tanah tinggi Lojing.
"Sepatutnya rakyat Kelantan boleh denda JAS atas kecuaian yang berlaku," tegasnya.
Husam juga meminta menteri berkenaan sepatutnya mengkaji kelemahan-kelemahan dan undang-undang yang sedia ada dalam JAS seperti kelulusan sebelum 1995 tidak tertakluk kepada EIA.
Sebanyak 22 projek yang akan dijalankan di tanah tinggi itu, bagaimanapun Husam mengesahkan sehingga kini hanya 14 sahaja projek sedang berjalan selebihnya belum bermula.
Selain itu, katanya, pemaju-pemaju juga kenalah bertanggungjawab dan sensitif terhadap alam sekitar supaya tidak berlaku penyemaran yang boleh mengganggu ekosistem.
Baru-baru ini Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Sazmi Miah dilaporkan mendakwa sebanyak 22 projek sedang rancak dijalankan di Lojing, namun lima sahaja yang mendapat kelulusan EIA.
Malah dakwanya, kemusnahan ekologi dan alam sekitar sedang berlaku di kawasan seluas 25,000 hektar di Lojing di mana bukit setinggi 1,200 meter gondol tanpa sebarang pokok. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment