Wan Nordin Wan Yaacob Mon Apr 09, 07 03:44:08 PM
KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) - Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) hari ini mengesahkan pendirian menyertai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok, Selangor sebagai satu wadah mengumpul suara rakyat bagi menolak kebobrokan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kepincangan pemerintahan negara hari ini.
Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, suara rakyat yang lantang mengkritik SPR dan tuntutan-tuntutan agar pengendalian pilihan raya di Malaysia direformasi untuk memastikan ia benar-benar adil ternyata tidak dipedulikan oleh pemerintah dan SPR.
Malah tindakan Pengerusi SPR dengan bongkak mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan SPR untuk membawa Suruhanjaya tersebut ke mahkamah adalah cerminan sikap sebenar SPR yang tidak mempedulikan kehendak dan tuntutan rakyat, katanya.
Cabaran tersebut hanya semata-mata retorik kosong kerana ruang dan peruntukan untuk mencabar SPR di mahkamah telah disekat dan disempitkan dengan pelbagai pindaan undang-undang, ujarnya.
"Mengambilkira keadaan yang sebegini, KeADILan beranggapan bahawa untuk memastikan reformasi pilihan raya berlaku dan pilihan raya dikendalikan dengan benar-benar adil dan bersih bagi menzahirkan suara dan kehendak rakyat, perubahan mesti dilakukan di peringkat pemerintahan negara dan negeri itu sendiri,"katanya ketika mengulas mengenai pendirian parti ituy mengenai pilihan raya kecil Dun Ijok.
"Oleh yang demikian keADILan membuat keputusan untuk menggerakkan rakyat menuntut perubahan melalui jalan pilihan raya. Meskipun kita akan berhadapan dengan lapangan pertandingan yang tidak sama rata (uneven playing field), rakyat Malaysia tidak punya sebarang pilihan selain menghadapi segala kesukaran itu dengan tabah,"tegasnya lagi.
Justeru keADILan akan meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dun Ijok yang akan datang dan KeADILan percaya pilihan raya kecil ini akan dimanfaatkan oleh rakyat untuk menzahirkan kehendak mereka terhadap kepemimpinan negeri Selangor yang bersih yang ditawarkan oleh Barisan Rakyat dan menolak cara hidup korup pemimpin Barisan Nasional, katanya.
Para pengundi di Ijok sendiri telah menghubungi keADILan di peringkat Bahagian Kuala Selangor dan Negeri Selangor untuk mendesak KeADILan agar meletakkan calon pada pilihan raya kecil tersebut, katanya.
Parti-parti rakan, PAS dan DAP, juga mempunyai pandangan yang sama dan memberikan komitmen untuk memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada calon keADILan, katanya.
Selain itu, sebahagian besar desakan rakyat pada peringkat akar umbi itu telah dikemukakan dalam bentuk rayuan agar KeADILan mengemukakan seorang calon yang cukup berwibawa dari segi kebolehan dan pengalamannya,katanya.
Watak yang demikian, menurut rayuan itu, amat dikehendaki rakyat sebagai suatu daya pengimbang dan pengkritik terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo sekarang yang bukan sahaja tidak cekap tetapi juga telah memilih untuk meneruskan sifat-sifat korupsi dan kroni pentadbiran negeri sebelum ini, ujarnya.
KeADILan percaya sokongan mantap rakyat akan dapat mengatasi sebarang tindakan penipuan pilihan raya yang akan dilakukan oleh BN dan juga SPR.
Justeru, KeADILan memutuskan untuk menguji buat kesekian kalinya sikap BN dan SPR yang tidak teragak-agak sanggup menipu, mempermain-mainkan dan menindas rakyat, kata Khalid.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment