Muhammad Nor Abd Samad Thu Apr 19, 07 01:20:55 PM
KUALA LUMPUR, 19 April (Hrkh) - Amalan membeli undi melalui janji-janji pembangunan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) diramalkan menjadi semakin hebat dalam pilihan raya akan datang terutama dalam pilihan raya kecil Ijok, Selangor, kata bekas Ketua Pengarang NSTP, A Kadir Jasin.
Ini katanya berikutan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang sepatutnya bersikap bebas dan berkecuali, mengatakan bahawa janji-janji seperti itu tidak menjadi kesalahan.
Baru-baru ini akhbar The Sun memetik Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai berkata, "janji-janji pembangunan yang dibuat oleh para menteri sewaktu pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai membeli undi".
Sebelum ini kata Kadir, berpuluh-puluh juta ringgit telah dijanjikan oleh BN dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir di Kelantan, Batu Talam di Pahang dan Machap di Melaka, yang menyaksikan kesemuanya dimenangi oleh calon BN.
Katanya lagi, memandangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon yang cukup berwibawa bagi menentang calon BN di Ijok, BN akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan calonnya menang.
"PKR mesti dikalahkan. BN yang sekali lagi diwakili oleh MIC mesti menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada pilihan raya 2004," kata Kadir dalam blognya,http://www.kadirjasin.blogspot.com/.
Sementara itu Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, Menteri Besar Selangor Dato' Seri Khir Toyo sepatutnya telah ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan rasuah berhubung pilihan raya kecil Ijok di Selangor sekiranya BPR merupakan sebuah badah yang bebas dan profesional.
"Ini kerana, sebelum penamaan calon pilihan raya kecil Ijok, politik wang untuk membeli undi telah bermula dengan pengumuman Khir Toyo mengenai peruntuk RM36 juta untuk pelbagai projek pembangunan dalam kawasan pilihan raya Ijok," kata Lim dalam kenyataan medianya.
Tapi malangnya kata beliau, BPR hanya bertindak "buta, pekak dan bisu" terhadap amalan rasuah dan politik wang untuk membeli undi dalam pilihan raya kecil itu. - mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment