Mohd Sabri Said Fri Apr 20, 07 09:39:19 AM
PULAU PINANG, 20 April (Hrkh) - Pengundi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok wajar menghukum keceluparan Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu ketika mengumumkan kenaikan harga tol serta kekejaman yang dilakukan oleh Menteri Besar, Dato' Dr. Seri Khir Toyo ketika merobohkan beberapa buah perkampungan Melayu dan surau sekitar Selangor.
Exco Wanita Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan) Pusat, Aminah Abdullah berkata, masa ini paling sesuai untuk melunaskan kemarahan rakyat sebelum membuat kejutan sekali lagi pada pilihan raya umum ke-12 nanti.
"Keceluparan mulut Samy Vellu dan kekejaman terhadap rakyat Selangor oleh Menteri Besarnya harus dihukum supaya mereka tidak lagi bertindak sesuka hati dengan membelakangkan kehendak rakyat yang telah memberikan mereka kuasa memerintah, " jelasnya dalam kenyataan pada Harakahdaily pagi tadi.
Menurutnya yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, sikap rakus kedua-dua kepimpinan negara itu menjejaskan slogan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sepatutnya, kenyataan pedas dan sikap zalim dibidas oleh kepimpinan negara yang lain termasuk Perdana Menteri.
"Kenyataan pedas dan tindakan zalim terhadap surau di Kampung Berembang contohnya meninggalkan kenangan yang pahit untuk umat Islam, " tegas beliau lantang.
Untuk itu sambung Aminah, beliau menyeru agar pengundi di Dun tersebut membuat pemilihan tepat kerana keputusan menang atau kalah akan mempengaruhi keputusan pilihan raya umum kelak.
Lagipun, rakyat di Ijok patut sedar penindasan yang berterusan berlaku di negara ini apabila kenaikan harga tol, minyak, barangan keperluan dan sebagainya.
"Sebagai rakyat kita kena prihatin dalam apa jua situasi agar kita tidak lagi diperkudakan oleh Barisan Nasional (BN), " katanya.
Justeru itu, lakukan yang terbaik sebagai contoh kepada rakyat di negeri lain bahawa jangan sekali-kali memperlekehkan rakyat bila mendapat kuasa.
Umno termasuk Perdana Menteri makin takut untuk menegur kepimpinan yang lantang bersuara yang dianggap boleh memburukkan lagi keadaan negara.
Pilihanraya kecil Ijok akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara parti BN dan BA.
Calon BN diwakili oleh, Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Karang, K.Parthiban manakala calon BA pula ialah Bendahari Agung KeADILan, Tan Sri Ahmad Khalid Ibrahim.
Penamaan calon berlangsung di Dewan orang ramai Batang Berjuntai pagi semalam dan hari mengundi ditetapkan pada 28 April ini. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment