Wan Nordin Wan Yaacob Tue Apr 24, 07 11:14:03 AM
IJOK, 24 April (Hrkh) - Meskipun hujan membasahi bumi Ijok tatkala Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang turun berkempen di sana, namun kesediaan bekas Menteri Besar Terengganu itu menjengah masyarakat Ijok menarik perhatian sebilangan masyarakat di sana.
Dalam pada sambutan yang bersifat 'ad-hoc' dibuat bagi mengiringi kempen Tuan Guru Abdul Hadi, namun tetap terpancar seraut senyuman wajah Presiden PAS itu ketika mengunjungi beberapa Unit Peti Undi (UPU) sekitar Bukit Badong, Simpang Tiga Ijok dan Pekan Ijok semalam.
Dengan hanya ditemani beberapa saf pimpinan peringkat negeri, beliau dalah usia lebih separuh abad mengayuh langkahnya menjenguk penyokong di sana sambil memberi sepatah dua kata berupa nasihat dan pandangan.
Di waktu malam pula, Tuan Guru Abdul Hadi diprogramkan berceramah di Batu Lapan berhampiran Simpang Tiga Ijok, dengan regunya antaranya, Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamood; Pengerusi MTRK, Dato' Paduka Ibrahim Ali; ahli MT KeADILan, Ustaz Badrol Amin Bahron dan calon KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 800 penyokong itu Tuan Guru Abdul Hadi sempat memberi amanat dan pandangannya kepada pengundi terutamanya kepada penyokong PAS dan KeADILan supaya meletakkan pilihan raya kecil Dun Ijok ini sebagai permulaan kepada usaha mengubah lanskap politik negara yang kian hancur kerana rasuah.
"Tan Sri Khalid Ibrahim calon yang kita pilih ini, rakyat Ijok dah kenal dia, sepatutnya tak payah diperkenalkan tetapi kita terpaksa kenalkan juga.Pilihan raya adalah wadah memilih pemimpin dengan amanah bukan setakat dapat upah tampal poster, pilihlah pemimpin yang bertanggungjawab dari kubur hingga kiamat,"katanya.
Melihat kepada calon di Ijok Tuan Guru berkata, BA memilih Khalid Ibrahim seorang yang memiliki kelulusan pengajian tinggi, terbukti sifat amanahnya bila memimpin satu syarikat besar (Permodalan Nasional Berhad) sehingga memberi keuntungan besar.
Menurut Tuan Guru lagi, Khalid telah menunjukkan kebolehan, kemampuannya, kejujurannya, dan baginya, Khalid adalah calon yang BA hadiahkan kepada rakyat di Ijok ini.
"Terpulang kepada rakyat Ijok menilai hadiah yang kami beri ini, satu bunga yang cantik dan indah diberi supaya akan terima dengan baik, kalau yang baik ini tak diterima saya tak fahamlah apa yang nak dicakap,"katanya sambil disambut laungan takbir oleh penyokong yang hadir.
Mengakhiri ceramahnya itu Tuan Guru Abdul Hadi menasihati pengundi di Ijok agar membuat pilihan yang tepat kerana ianya akan menetukan masa depan negara yang kini hancur di tangan mereka yang diberi amanah tetapi tidak menjaga amanah itu dengan baik.
Hujan renyai yang mengiringi langkah Tuan Guru Abdul Hadi ke ceramah di satu lagi tempat berasingan tidak mematahkan semangat penyokong untuk terus khusyuk mendengar ceramah berikutnya yang disampaikan oleh Syed Shahir.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment