Friday, April 13, 2007

Husam ganti Nik Aziz bila-bila masa

13-04-2007 05:44:39 PM Oleh FATHI ARIS OMAR & SALHAN K. AHMAD
PETALING JAYA: Bila-bila masa sahaja salah seorang daripada tiga orang pemimpin kanan PAS Kelantan akan menggantikan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat yang akan meletak jawatan, dijangkakan menjelang pilihanraya umum ke-12.
Calon-calon yang disebut-sebut terdiri daripada timbalan presiden PAS Datuk Husam Musa, pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah, dan timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Ketiga-tiganya juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan. Bagaimanapun Husam dikatakan calon pilihan kerana beliau pemimpin parti paling kanan berbanding dua lagi.
Husam selama ini sering disebut-sebut pengganti Nik Aziz khususnya selepas beliau ditarik kembali bertanding kerusi DUN Kijang dalam pilihan raya umum 2004 dan kini, dalam pentadbiran negeri, dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan.
Husam sebelumnya anggota parlimen bagi kawasan Kubang Kerian.
Satu sumber memberitahu mStar Online hari ini, "isunya bukan lagi siapa, tetapi soal pemilihan masa" untuk mengumumkan Husam sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun, tambah sumber itu yang dekat dengan PAS, beberapa kumpulan dalam parti kurang menyenangi pemimpin muda lulusan Universiti Malaya itu tetapi lebih cenderung memilih Nik Mohd Amar atau Ahmad.
Menurut satu lagi sumber, Husam yang berpengalaman luas sebagai setiausaha akhbar dan setiausaha politik Nik Aziz sedang memulakan satu program publisiti besar-besaran sebagai persediaan untuk jawatan tersebut.
Selain membina hubungan dengan sebuah akhbar politik mingguan, beliau juga dikaitkan dengan satu projek pembangunan web televisyen.
Wakil rakyat Umno kawasan Ketereh, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berkata Husam kelihatan calon yang paling berpengaruh dan paling berusaha untuk mendapatkan jawatan tersebut.
Menurutnya lagi, Husam sering tampil sebagai "hero" untuk menjelaskan beberapa isu sensitif kerajaan negeri itu seperti isu kemusnahan hutan di Lojing dan penggunaan dinar emas yang cuba dipromosikan negeri tersebut.
"Pengaruh Husam juga terlalu besar dalam kerajaan negeri, seolah-olah beliaulah yang sebenarnya ketua kerajaan negeri sekarang, baik dalam isu lojing atau dinar emas atau apa saja, beliau yang akan menjelaskan," kata Mohd Alwi, yang juga Ketua Penerangan Umno Kelantan.
Berbanding dua lagi calon, Husam lebih berpeluang memandangkan jawatannya sebagai naib presiden lebih kanan, tambahnya.
"Memang Husamlah, beliau seorang saja yang nak, yang lain tidak ada berpeluang kalau dari segi jawatan parti. Tetapi dari segi kekananan (pentadbiran negeri), sepatutnya Ahmad Yaakob kerana beliau menjawat timbalan menteri besar," jelasnya.
Beliau bagaimanapun berhujah, sentimen rakyat tidak memihak kepada Husam. "Rakyat Kelantan lebih suka kepada pemimpin yang ada pembawaan Islam, tapi Husam ini tidak ada sifat itu. Mungkin mereka lebih suka kepada Nik Amar atau Ahmad Yaakob."
Mohd Alwi menambah, keghairahan Husam itu boleh dilihat daripada tindakan pemimpin PAS itu menguasai penerbitan sebuah akhbar tabloid.
"Akhbar itu memanglah untuk promosi dirinya, bukan mempromosi kerajaan negeri. Harakah lebih banyak politik parti, tapi (mingguan pro-Husam) ini lebih kepada politik beliau sendiri," katanya.
Mohd Alwi bagaimanapun enggan memberi komen sama ada Husam akan dilantik sebagai Menteri Besar sebelum pilihanraya umum akan datang.
"Saya tidak tahulah sama ada sebelum atau selepas pilihanraya. Saya tidak suka bercakap tentang hal-hal masa depan, sebenarnya. Saya cuma boleh bercakap tentang perkara yang berlaku sekarang sahaja."

No comments: