Azamin Amin Thu Apr 12, 07 12:53:50 PM
KUALA LUMPUR, 12 April (Hrkh) - Impak hari ini mengutuk sikap hipokrit kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang dilihat mempermain-mainkan sensitiviti umat Islam.
Ini berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz dalam laporan akhbar semalam yang membincangkan isu IFC di Parlimen.
Nazri dipetik sebagai berkata ketiadaan wakil umat Islam dalam IFC bukanlah satu masalah kerana suruhanjaya itu mempunyai alternatif lain bagi membincangkan isu kepentingan bersama.
"Justeru Perdana Menteri adalah saluran terbaik bagi IFC mengenengahkan isu. Mungkin kita boleh adakan perjumpaan rasmi dua kali setahun berbanding perjumpaan secara ad-hoc sekarang,” kata Nazri ketika menggulung perbahasan titah ucapan diraja bagi Jabatan Perdana Menteri di Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz Omar berkata kenyataan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa kerajaan sudah mengiktiraf IFC sedangkan sebelumnya Perdana Menteri telah memberi amaran malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdullah Mat Zin turut membantah penubuhan IFC ini.
"Kenyataan Nazri itu menunjukkan bahawa IFC itu relevan dan membayangkan untuk mengadakan pertemuan dua kali setahun," katanya ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Sedangkan kita tahu tujuan penubuhan IFC adalah untuk mencampuri urusan umat Islam di negara ini," katanya lagi.
Usaha ini katanya secara tidak langsung sudah mencabar sensitiviti umat Islam, mengenepikan pandangan ulama-ulama Islam malah mengabaikan bidang kuasa Raja-raja Melayu dalam hal ehwal agama Islam di negara ini.
Penubuhan IFC katanya berasaskan kepada ketidakpuasanhati pihak lain terhadap urusan agama orang Islam dan oleh yang demikian penubuhannya sememangnya harus dibantah namun isu yang dianggap telah reda suatu ketika telah dibangkitkan kembali dan ternyata sikap hipokrit Pak Lah amatlah dikesali dalam menangani isu ini.
"Bila suasana tegang, kerajaan membantah dan apabila telah reda kerajaan sendiri yang mengiktirafnya dan ternyata Perdana Menteri hipokrit terhadap umat Islam di negara ini," katanya lagi.
Sebenarnya katanya, pihak-pihak lain bebas membincangkan urusan agama masing-masing hatta untuk berbincang dengan Perdana kenetri sendiri,namun tidak dalam urusan hal ehwal Islam.
Dalam masa sama, beliau menyarankan supaya Majlis Raja-raja yang menjadi Ketua Agama negeri masing-masing bertindak dengan segera berhubung isu IFC ini supaya tindakan biadap dan melangkaui urusan agama Islam oleh pihak yang tidak bertanggunjawab dapat dibendung dengan segera. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment