M Khaleel Kas Wed Apr 18, 07 11:40:56 AM
KUALA LUMPUR, 18 April (Hrkh) - Kejam dan melampau! Harga makanan dan minuman naik antara 60 dan 130 peratus! Itulah tafsiran awal yang boleh dijangkakan daripada semua.
Hari ini, sebuah akhbar melaporkan bahawa Rangkaian Restoran Nasi Kandar Di Kayu telah menaikkan harga makanan dan minuman di semua premisnya berkuatkuasa 1 April di Lembah Klang dan 15 April di utara Semenanjung tanahair.
Berdasar laporan akhbar berkenaan, antara beberapa jenis makanan dan minuman yang dinaikkan adalah seperti teh/kopi 'o' panas, harga lama (RM1.00), harga baru (RM1.60); milo panas (RM1.30) - (RM2.50); milo ais (RM1.50) - (RM2.50); Nasi Goreng Biasa (RM2.50) - (RM4.00) dan Roti Canai Kosong (RM0.60) - (RM1.00).
Pengarah Urusan restoran berkenaan, Sirajuddin Y. Mohamed Mydin yang dipetik akhbar berkenaan berkata,"harga baru yang dikenakan itu bukan satu kenaikan sebaliknya ia merupakan pelarasan harga.
"Ia bukan bertujuan mengaut keuntungan lebih tetapi kenaikan itu adalah bagi menampung kos operasi yang kian meningkat ekoran peningkatan harga barang-barang mentah yang lain."
Pengguna punyai kuasa untuk menolak
Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini berkata, pada dasarnya peningkatan harga tersebut tidak wajar dan tidak setuju sama sekali jika meningkat sehingga membebankan pengguna.
Namun, katanya dalam situasi ini pengguna sebenarnya mempunyai kuasa untuk menolak daripada mengunjungi restoran-restoran yang menaikkan harga dengan kadar yang tidak sewajarnya.
"Masalahnya, kenapa pengguna masih mengunjungi restoran berkenaan walau nyata harga makanan dan minuman dinaikkan sehingga menyusahkan pengguna sendiri?"
Dalam isu yang sama, Mahfuz turut menyelar pihak kerajaan yang mengabaikan tanggungjawab mereka sehingga berlaku kenaikkan yang sewenangnya.
"Sepatutnya pihak kerajaan senarai hitam restoran sebegini. Kalau kita ada kedai atau pasar raya harga patut, kenapa di kalangan restoran tiada yang sebegitu, patut kerajaan juga berbuat sesuatu,"gesanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Fomca, Yusof Abdul Rahman, berkata fenomena ini amat membimbangkan kerana tidak mustahil ia akan turut diikuti oleh para pengusaha dan restoran yang lain.
Menurutnya, dari satu segi pihak kerajaan juga tidak ada peraturan yang boleh mengawal pengusaha restoran daripada menaikkan harga makanan dan minuman dengan sewenangnya.
Disebabkan itu jelasnya, "Fomca memperjuangkan agar kerajaan akta perdagangan adil di mana peniaga tidak dibenarkan meletakkan harga dengan sewenang dan sebebasnya. Dan harga yang diletakkan tidak boleh lebih daripada margin yang tertentu dan jika berlebihan maka ia akan dianggap sebagai satu kesalahan."
Kejam naik 130 peratus
Harakahdaily ketika meninjau di kalangan pengguna mendapati ramai yang tidak bersetuju dengan kenaikkan yang mendadak itu.
Ahmad Shazali, 33, ketika ditemui berkata, sikap peniaga sebegini amatlah dikesali.
"Tidak wajar dan kejam. Kenapakah harga minuman seperti milo ais naik sampai 130 peratus dan sirap sebanyak 100 peratus? Apakah kos yang melampau sampai nak dikenakan kenaikkan sebegitu kepada pengguna?"soalnya.
Beliau turut menyelar sikap pihak berkuasa yang gagal untuk memantau pihak pengusaha restoran sehingga berlaku kenaikkan yang sewenangnya.
"Kerajaan perlu berbuat sesuatu, jangan melihat sahaja. Sudahlah kita dibebani dengan pelbagai kos seperti kenaikkan tol, bahan bakar, dan barangan lain,"katanya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment