Monday, April 9, 2007

Pesta mandi arak F1, sikap media perdana dikesali

Basiron Abdul Wahab Mon Apr 09, 07 02:56:01 PM
KUANTAN, 9 April (Hrkh) - Pemuda PAS Pahang kesal media arus perdana berbahasa Melayu sering menggelapkan berita untuk melindungi kepentingan politik Umno.
Ketua Penerangannya, Suhaimi Md Saad berkata, beliau merujuk kepada dua isu penting yang membabitkan sensitiviti masyarakat Islam iaitu pesta mandi arak selepas acara penyampaian trofi kepada pemenang perlumbaan kereta Formula 1 (F 1 Circuit) di Sepang kelmarin serta isu yang mendesak pemecatan Mufti Perak oleh Ketua Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Wilayah Persekutuan Dr Tan Kee Wong, 2 April lalu.
Katanya, gambar mandi arak di atas podium membabitkan dua pelumba Mc Laren Fernando Alonso dan rakan sepasukan Lewis Hamilton yang disiar akhbar The Star jelas sekali mempersenda umat Islam di negara ini dan begitu juga dengan isu desakan pemecatan Mufti Perak.
"Kedua-duanya amat menyinggung perasaan umat Islam apatah lagi Islam adalah agama rasmi persekutuan," kata Suhaimi.
Suhaimi berkata, perbuatan pelumba tersebut tentunya mempersendakan pemimpin Umno beragama Islam termasuk Perdana Menteri yang hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang sebelum itu.
"Apakah Perdana Menteri serta lain-lain pemimpin Umno yang tidak minum arak tidak terasa apa-apa melihat aksi kedua-dua pelumba meraikan kemenangan pasukan mereka itu?" soalnya.
Suhaimi juga mempersoalkan kemana pergi pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab menjaga media , apakah mereka sudah hilang sensitiviti sehingga tidak memberi teguran kepada akhbar yang menyiarkan gambar berkenaan.
"Jika mereka ikhlas menjaga kepentingan rakyat majoriti sudah tentu akhbar berkenaan wajar diambil tindakan di atas penyiaran gambar yang melukakan hati umat Islam itu," katanya. - mks.

No comments: