Posted on Friday, April 13 @ 09:54:39 MYT by webmaster
PAS Terengganu menyifatkan pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri yang mendakwa kerajaan PAS tidak melakukan apa-apa pembangunan sepanjang pemerintahan empat tahun adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berasas. Pemimpin Umno/BN itu cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta takut berdepan secara terbuka untuk berdebat dengan PAS.
Ikuti interviu Buletinonline bersama Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Haji Yahaya Ali di Pejabat Perhubungan PAS negeri, baru-baru ini.Buletinonline: Kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh dalam interviu dengan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa PAS tidak membuat apa-apa pembangunan semasa memerintah negeri selama empat tahun. Apa pendapat saudara?
Yahaya: Kenyataan Menteri Besar itu menggambarkan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengelirukan rakyat. Apa yang sebenarnya berlaku, rakyat sekarang ini sudah mula dapat membezakan apa yang dilakukan oleh kerajaan PAS semasa memerintah dahulu dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional sekarang.
Pertama, PAS hanya memerintah negeri Terengganu selama empat tahun iaitu 1999 hingga 2004. Dalam tempoh empat tahun itu, bukanlah suatu tempoh yang lama untuk kita (PAS) melakukan banyak perubahan berbanding dengan Umno dan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negeri Terengganu lebih dari 30 tahun. Di mana kita dalam perjuangan PAS ini sebenarnya tidak pernah membangkang semata-mata membangkang.
Sebab itu, sebelum kita jadi kerajaan kita membangkang apa yang kita katakan berlakunya perkara-perkara yang tidak sihat terutama yang bercanggah dengan Islam. Perkara-perkara yang menyeleweng, membazir dan seumpamanya. Pada masa yang sama, kita juga memberikan pilihan sewaktu kita jadi pembangkang apa yang sepatutnya kerajaan buat.
Sebab itu, tidak betul apa yang disebut oleh Menteri Besar BN itu bahawa PAS ini tidak ada kerja lain hanya membangkang sahaja. Kita telah membuktikan sewaktu memerintah empat tahun itu banyak perkara yang tidak dibuat oleh kerajaan Umno/BN sebelumnya dapat kita lakukan.
Sebagai contohnya, apa yang saudara maksudkan itu?
Bukankah sewaktu kerajaan PAS memerintah kita telah mendaulatkan dari segi undang-undangnya telah meletakkan sumber undang-undang tertinggi dalam negeri ini di Terengganu ialah al-Quran, Hadis, Ijma’ ulama dan Qias. Ini belum pernah dibuat oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional sebelum itu. Begitu juga dalam konteks mengenakmenkan dengan menggubal satu Enakmen yang berkait dengan Undang-undang Syariah iaitu berkait dengan Hudud, Qisas dan Takzir. Ini juga merupakan satu rekod yang telah dilakukan oleh kerajaan PAS pada waktu itu.
Jika kita mahu lihat dari sudut pencapaian kerajaan PAS, saya fikir rakyat yang lebih berhak untuk menilainya. Soal kebangkitan rakyat yang tidak mampu dilakukan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional waktu itu umpamanya melepaskan rakyat daripada membayar cukai pintu rumah kediaman kepada rakyat. Ini tidak pernah dibuat oleh kerajaan BN.
Bahkan apabila mereka dapat memerintah semula Terengganu, mereka terus melaksanakan perkara ini dengan mengenakan semula cukai pintu itu walaupun dalam keadaan kemudahan-kemudahan asas kepada rakyat masih banyak yang tidak diberikan perhatian. Kalau kita bercakap dalam soal kebajikan untuk rakyat jelata, kerajaan kita pada waktu itu telah meluluskan berpuluh-puluh ribu lot tanah kepada rakyat untuk rumah kediaman atau pun untuk tapak pertanian.
Oleh kerana kita merasakan ini sangat penting supaya rakyat Terengganu yang tidak memiliki kedua-dua tapak ini diberikan hak serta kelulusan. Apabila bertukar kerajaan, mereka (BN) telah membatalkan apa yang diberi oleh kerajaan PAS dahulu.
Bahkan dalam kes yang lebih serius, rumah-rumah yang telah didirikan telah dirobohkan termasuklah sebuah masjid di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bujal yang telah didirikan hasil sumbangan oleh orang ramai, di tapak yang telah ditentukan dengan pelan tapak aturnya telah ada. Dan orang kampung merasakan perlu disegerakan tetapi malangnya telah dirobohkan oleh kerajaan BN hari ini.
Dalam soal pembangunan umpamanya, pusat-pusat pertumbuhan baru seperti di Pekan Wakaf Tapai, di Bukit Payung dan Pusat Niaga di Paka. Pada zaman kerajaan PASlah tumbuhnya pusat-pusat kemudahan untuk rakyat yang didirikan pada waktu itu. Jadi bagaimana Menteri Besar mengatakan bahawa PAS tidak berbuat apa-apa.
Jadi apakah penilaian PAS terhadap kerajaan BN Terengganu hari ini?
Oleh sebab itulah, hari ini kita ajak mereka mengadakan satu debat terbuka dalam isu pembangunan untuk rakyat. Biar rakyat sama-sama menghakimi apa yang berlaku di kedua-dua era ini. Apakah benar di zaman kerajaan PAS itu tidak berbuat apa-apa? Dan apakah sebenarnya kerajaan sekarang ini melakukan suatu pembangunan yang begitu pesat dan dapat mengubah sikap orang Terengganu? Yang dikatakan orang Terengganu ini telah berubah sikap untuk maju ke depan sebagaimana satu ungkapan “Tiada Halangan Hanyalah Peluang” dalam erti kata orang Terengganu ini sentiasa maju ke depan.
Pada kami yang kami lihat sekarang ini beberapa projek yang dilakukan oleh kerajaan Umno/Barisan Nasional merupakan projek yang sangat membazir. Atau pun sekurang-kurangnya bukan soal halangan tetapi tidak diberi peluang.
Umpamanya, projek Monsoon Cup yang dibuat di Pulau Duyong. Apa yang rakyat dapat sebenarnya. Atau pun projek terbaru di Pulau Wan Man yang melibatkan pembinaan replika masjid-masjid termasuk masjid kristal dan model-model masjid yang terkenal di dunia. Masjid-masjid ini untuk dipertontonkan kepada pelancong-pelancong. Apa yang rakyat dapat sebenarnya.
Dari segi politik pun bukan soal ‘Tiada Halangan Hanyalah Peluang’ tetapi peluang tidak diberikan kepada rakyat Terengganu. Projek sebesar ini yang menelan belanja ratusan juta ringgit itu iaitu lebih dari RM200 juta dan jika dicampur dengan projek Monsoon Cup lebih dari RM500 juta tetapi yang berlaku projek ini hanya diberi kepada beberapa kerat manusia yang ada hubungan dengan kroni-kroni pemimpin tertentu seperti Patrick Lim yang mana projek yang besar itu hanya diberi kepada individu tertentu. Kemudian pelaksanaan projek juga melibatkan pekerja-pekerja luar.
Jadi di manakah peluang untuk orang Terengganu. Rakyat Terengganu hanya menjadi pemerhati sahaja kepada projek-projek seumpama ini. Sepatutnya, setiap projek yang kerajaan hendak buat mesti difikirkan dari segi kesan pembangunannya, penglibatan rakyat tempatan kepada projek tersebut dan yang lebih penting.
Kerajaan sepatutnya merancang apakah projek yang lebih utama, yang benar-benar dapat menjana ekonomi negeri dari sudut peluang pekerjaan kepada rakyat. Dengan duit sebanyak ini, jika digunakan untuk kepentingan yang lebih mustahak bagi menyelesaikan masalah rakyat yang miskin, rakyat yang menganggur, rakyat yang hendak berniaga yang memerlukan pinjaman, keperluan rakyat dari segi perumahan. Ini sepatutnya diberikan keutamaan yang lebih besar kepada sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
Soal PAS atau pembangkang yang tidak memberikan sumbangan kepada pembangunan di negeri Terengganu ini sebenarnya, rakyat Terengganu lebih sedar. Rakyat Terengganu melihat apa yang telah dibuat oleh kerajaan PAS ketika berkuasa dahulu dan ada perbezaan besar dan mereka akan menjawabnya dalam pilihan raya umum akan datang, insya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment