Wan Nordin Wan Yaacob Sat Apr 21, 07 01:04:28 AM
KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) mendakwa Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin berbohong dan memutarbelitkan fakta mengenai kekecohan yang berlaku semasa proses penamaan calon di Dun Ijok 19 April lalu (Isnin).
Khairy juga didakwa cuba memupuk budaya samseng di kalangan pemuda BN dengan menjadi provokator dalam beberapa insiden yang tidak diingini dilakukan oleh anggota mereka sendiri, kata Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin kepada Harakahdaily dalam satu kenyataannya hari ini.
Berhubung insiden di Ijok, AMK adalah parti politik yang pertama membuat dua laporan polis sejurus selepas proses penamaan calon, masing-masing dilakukan oleh Zainurin bin Jiman pada jam 12.32 tengahari (repot no 900/07) dan Zulkanaine Bin Kassim pada jam 12.51 tengahari, (repot no 901/07) pada hari yang sama.
Dalam kes Zainurin beliau mendakwa telah ditumbuk di bahagian pipi sebelah kiri oleh salah seorang anggota pemuda BN sementara Zulkanaine pula dikatakan telah dibaling dengan kayu oleh sekumpulan pemuda BN, katanya.
AMK percaya kedua-dua laporan polis di atas akan disiasat di bawah Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan dengan sengaja) dan 336 (membahayakan nyawa dan keselamatan diri) Kanun Keseksaan, katanya yang juga seorang peguam.
AMK memberi amaran kepada Khairy dan konco-konconya untuk tidak bertindak di luar batas undang-undang kerana AMK tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka, katanya.
Sementara itu akhbar arus perdana melaporkan bahawa kekecohan dan insiden baling membaling kayu telah dimulakan oleh penyokong KeADILan.
Ketua Pemuda Umno, Dato' Hishamuddin Tun Hussien mendakwa bahawa perbuatan itu adalah satu perbuatan terdesak 'desperado' oleh pembangkang yang tidak mempunyai isu untuk dibangkitkan.
Bagaimanapun dalam visual yang dilaporkan oleh sebuah stesen televisyen semalam memperlihatkan bahawa kedua-dua pihak saling baling membaling.
Penasihat KeADILan yang mengulas insiden itu dan menyaksikan rakaman visual yang ditayang di televisyen semalam menyatakan bahawa tuduhan yang dilempar ke atas penyokong KeADILan itu tidak berasas.
Ini kerana katanya dalam visual itu nampak kedua-dua pihak saling baling membaling, tetapi katanya apa yang memeranjatkan botol yang digunakan untuk tujuan membaling itu adalah botol air mineral yang tertera lambang 'dacing'.
"Saya tak mahu tuduhlah tetapi kita dah buat laporan polis dah tentang perkara itu.Kita bawa bukti sekali tentang soal itu," katanya ketika menyampaikan amanat kepada pengundi di Ijok dalam satu majlis ramah mesra dekat sini semalam.
Anwar turut mengiringi calon KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk berkempen di Ijok, dan dijadualkan akan berada di Ijok beberapa hari lagi termasuk bersama Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berkempen.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment