26-04-2007 02:26:40 PM
KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, 45, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dalam upacara penuh adat istiadat Raja Melayu di Balairong Seri, Istana Negara di sini hari ini.Sebaik sahaja Seri Paduka Baginda melafazkan ikrar sebagai ketua negara, semua yang hadir berdiri dan melaungkan "Daulat Tuanku" tiga kali diketuai oleh Datuk Maharaja Lela Tengku Farouk Tengku Jalil.Dalam ikrar yang ditulis Jawi di atas kulit kambing, baginda berjanji akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, serta memelihara agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.Selepas Seri Paduka selesai melafazkan warkah ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong, nafiri ditiup, dan lagu nobat "Raja Bertabal" dimainkan oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu.Ini diikuti dengan tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja, dan disusuli dengan lagu "Negaraku" yang dimainkan oleh pancaragam Kor Armor Diraja.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum itu membaca surat perisytiharan pertabalan, yang juga ditulis Jawi di atas kulit kambing.Ini diikuti dengan Datuk Paduka Maharaja Lela menyembah Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja, iaitu alat kebesaran negara yang utama, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.Seri Paduka kemudian menghunus, mengucup dan menyarungkan kembali keris itu sebelum meletakkannya di meja sebelah kiri baginda, sebelum melafazkan ikrar.Istiadat itu yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro kira-kira sejam, yang turut dirakamkan oleh National Geographic dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi penerbitan dokumentari mengenai Kesultanan Melayu, yang menunjukkan keunikan institutsi Diraja Malaysia, yang akan disiarkan ke seluruh dunia.Raja-raja Melayu yang terdiri daripada Sultan Kedah yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Pahang, Sultan Kelantan, Sultan Perak, Sultan Terengganu dan Sultan Selangor turut berangkat ke majlis yang gilang-gemilang itu.Johor diwakili oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Perlis oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzudin manakala Brunei Darussalam diwakili oleh Putera Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.Turut hadir Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, menteri-menteri kabinet, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, kerabat diraja Terengganu termasuk nenda Seri Paduka Baginda, Tengku Ampuan Intan Zaharah yang merupakan Raja Permaisuri Agung yang keempat dan bonda baginda Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Al-Sogoff serta Yang Di-Pertuan Muda Tengku Muhammad Ismail, putera sulung Tuanku Mizan.Wakil-wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara juga hadir pada istiadat pertabalan itu.Istiadat pertabalan bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira 11.10 pagi dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah ke Balairong Seri dengan iringan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Raja Berangkat".Keberangkatan baginda berdua didahului oleh Datuk Maharaja Lela dan panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, iaitu tongkat-tongkat perak yang merupakan sebahagian alat kebesaran Diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.Mereka diiringi oleh juruiring Seri Paduka dan panglima-panglima yang membawa alat-alat kebesaran Diraja.Tuanku Mizan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok "Dendam Tak Sudah" serta memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga-bunga.Di pinggang Seri Paduka tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.Tuanku Nur Zahirah pula memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian.Istiadat pertabalan dimulakan dengan naskhah al-Quran dibawa masuk oleh Datuk Penghulu Istiadat Datuk Wan Safiain Wan Hasan yang juga Datuk Pengelola Bijaya Diraja bersama-sama Keris Kerajaan, surat perisytiharan dan watikah ikrar.Alat-alat kebesaran istiadat pertabalan itu dibawa masuk oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diketuai oleh Datuk Maharaja Lela Yang Mulia Tengku Farouk Tengku Jalil berserta Pegawai Istana Negara Datuk Abdul Rahman Mohd dengan iringan paluan nobat lagu "Palu-Palu Melayu." Naskhah al-Quran yang melambangkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, dan dikucup oleh Seri Paduka sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.Ini diikuti dengan perisytiharan oleh Abdullah dan lafaz ikrar Yang di-Pertuan Agong, serta diikuti dengan Perdana Menteri menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia, dan diikuti dengan titah Tuanku Mizan.Istiadat itu diikuti dengan bacaan doa selamat oleh Pegawai Agama Istana Negara, dan sebelum istiadat pertabalan selesai, Datuk Maharaja Lela menerima balik naskhah al-Quran daripada Seri Paduka, dan mengisytiharkan istiadat itu telah disempurnakan serta diikuti dengan keberangkatan Seri Paduka berdua meninggalkan Balairong Seri.Tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Raja Berangkat" mengiringi keberangkatan Seri Paduka berdua yang didahului oleh Datuk Maharaja Lela dan diikuti oleh Datuk Penghulu Istiadat membawa naskhah al-Quran, panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama dan alat-alat kebesaran Diraja.Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-raja ke-208 di Istana Negara pada 3 Nov 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Dis 2006.Istiadat lafaz sumpah jawatan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 diadakan penuh istiadat di Istana Negara pada 13 Dis 2006 dan jawatan itu berkuatkuasa untuk tempoh lima tahun.Kebiasaannya istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong tidak diadakan serentak dengan istiadat Lafaz Sumpah Jawatan. Ia diadakan beberapa bulan atau satu tempoh masa selepas itu. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment