Zaili Muhammad Wed Apr 04, 07 08:20:50 AM
MACHAP,4 April (Hrkh) - PAS Melaka dan Kelab Penyokong PAS Kaum Cina dalam satu kenyataan kepada media menyatakan bantahan terhadap tindakan Barisan Nasional(BN) menggunakan jentera kerajaan untuk berhadapan dengan calon pembangkang di dalam pilihan raya kecil ini dan memanipulasi isu 'Negara Islam'.
Menurut Setiausaha PAS Melaka, Adly Zahari, bahawa kenyataan ini dibuat kerana pimpinan BN mengaitkan PAS dengan pilihan raya kecil ini sedangkan kami telah mengambil ketetapan tidak akan terlibat atau menyokong mana-mana calon pembangkang dan bebas sekiranya ada.
Beliau berkata, BN mencemari demokrasi dengan menggunakan jentera kerajaan seperti RTM, JKR, Polis dan sekaligus menjadikan pertandingan 'kerajaan berlawan dengan pembangkang'.
Adly menambah,BN menggunakan projek infrastruktur kerajaan bagi memancing undi, ini menyebabkan kos projek tinggi, kualiti kerja rendah, tiada ketelusan dan menambah bebanan kos projek.
"Kami juga memberi amaran kepada BN terutamanya MCA agar 'Negara Islam' tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen terutamanya kepada masyarakat bukan Islam, menimbulkan kebencian terhadap istilah itu serta mengaitkannya dengan pembangkang DAP yang bertanding DI DUN Machap.
Satu lawan satu
Pertandingan dua penjuru di antara calon BN dan DAP di DUN Machap bakal menjadi pengukur kepada perjalanan demokrasi dalam proses pilihanraya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR).
SPR juga buat pertama kalinya membenarkan MAFREL menjalankan tugas pemantauan pada pilihan raya kecil kali ini untuk menilai sejauhmana ketelusan pilihanraya yang dilakukan oleh SPR.
Pilihan raya ini menyaksikan pertandingan calon DAP Liau Chen Kuang seorang peniaga dari Pulau Gadong Melaka yang menghantar kertas penamaan pada pukul 9.28 pagi, manakala BN diwakili oleh Lai Meng Chong dari Machap Baru Melaka dan menyerahkan kertas penamaan pada pukul 9.14 pagi.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar menyatakan kemungkinan keputusan boleh diperolehi pada pukul 8.00 malam selepas tamat tempoh membuang undi 12 April nanti kerana cuma melibatkan 19 peti undi dan pengundi berdaftar seramai 9,623 orang.
Pengiraan undi dan pengumuman keputusan pilihan raya akan dilakukan di Dewan Japerun Bukit Bukit Bulat serta beliau menambah kempen akan dipantau oleh SPR bermula hari ini, mama-mana parti politik yang berkempen sebelum ini bukanlah tanggungjawab SPR tetapi hendaklah dirujuk kepada PBT atau Polis. - mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment