Sunday, April 22, 2007

Roy Rasul Sat Apr 21, 07 03:32:51 PM
KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) – Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, sebagai parti pembangkang, PAS berhak untuk bersama-sama bersuara dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok.
Katanya, walaupun PAS tidak bertanding tetapi sebagai sebuah komponen dalam Barisan Alternatif (BA) PAS tetap akan membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diletakkan untuk melawan Barisan Nasional (BN) di situ.
“PAS masuk ke Ijok sebagai BA dan BA itu pula hanya PAS dan PKR,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.
Media pro kerajaan semalam dipetik mengkritik Ustaz Nasharudin kerana turut mengkritik pihak berkuasa dalam isu insiden pergaduhan semasa hari penamaan calon di Ijok pada 19 April lepas.
Bagi mereka Ustaz Nasharudin tidak sepatutnya berbuat demikian kerana PAS bukan bertanding di situ
Bagaimanapun bidas Ustaz Nasharudin, jika itu modal media arus perdana untuk menyekat PAS daripada bersuara di Ijok mengapa pula Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyebut pembangkang dalam kenyataannya mengenai parti lawannya.
Walhal katanya, pembangkang di Malaysia ini banyak termasuklah PAS.
“Kalau macam itu janganlah sebut pembangkang sebutlah nama parti yang lawan dengan BN itu,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata pimpinan PAS akan turun ke Ijok dengan mengikut jadual yag ditetapkan bagi membantu PKR memenangi kerusi Ijok kerana PKR adalah rakan komponennya. - mns

No comments: