Monday, April 9, 2007

PAS sokong Keadilan di Ijok

Roy Rasul Tue Apr 10, 07 02:23:30 PM
KUALA LUMPUR, 10 April (Hrkh) – PAS Selangor merestui Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) Ijok.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali berkata, PAS Selangor yakin Barisan Alternatif (BA) boleh menang jika Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim bertanding di Dun berkenaan.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, PAS Selangor memberi laluan kepada PKR setelah satu keputusan diambil dalam mesyuaratnya.
Ini katanya, ia berdasar keputusan yang dibuat mengikut sistem pilihan raya 2004 dulu.
“Kawasan itu diperuntukkan kepada PKR dan memang wajar PKR bertanding dan kerana itu PAS Selangor merestuinya dan akan terus berkempen seolah-olah PAS yang bertanding,” katanya lagi.
Pada 9 April lalu, Biro Penerangan PKR, dalam kenyataan medianya berkata, PKR akan bertanding di Dun Ijok dan perkara itu dinyatakan oleh Tan Sri Khalid.
Dalam pada itu Dr Hasan berkata PAS menyokong keazaman PKR yang mahu mendedah ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan penyelewengan kepimpinan Menteri Besar Selangor.
“Saya setuju kerana sememangnya kedua-dua perkara tersebut yang PAS perjuangkan sejak saya menjadi ketua pembangkang di sidang Dun Selangor pada pilihan raya 1999 dulu.
“Itu fokus kita dan kita juga membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap 21 tuduhan rasuah Dato' Seri Khir Toyo,” katanya.
Namun katanya sehingga hari ini laporan tersebut tidak dijawab dan rakyat tidak tahu apa tindakan yang diambil terhadap Khir Toyo.
Malah katanya, penyelewengan, pembaziran,ketidaktelusan serta salah guna kuasa bukan saja di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi di negeri pun Selangor turut ‘menjuarainya’.
“Dadah, pembunuhan bayi, gejala sosial, pelacuran, perjuadian, Selangor merupakan juaranya,” katanya lagi.
Kesan tersebut katanya, bukan saja mengakibatkan anak Melayu tetapi anak orang Cina dan India mahu hidup dalam suasana aman damai tetapi tidak dapat diberikan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Saya nampak di bawah Khir Toyo Selangor makin goyah dan memang tepat PKR naikkan isu tersebut bahkan katanya, jika PAS bertanding pun isu yang sama akan dibawa,” katanya.
Tambahan pula katanya semasa pilihan raya 2004 lalu calon PKR iaitu Abd Rahman Moharam yang tewas kepada Dato' S Sivalingam dengan majoriti 1,649 undi.
Katanya, pengundi kawasan itu terdiri dari 52 peratus Melayu, India (27 peratus), Cina (22 peratus) dan sekaligus beliau yakin calon PKR mampu menewaskan musuhnya.
Kerusi Dun Ijok kosong selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), S Sivalingam, 59, pada 4 April lalu akibat sakit jantung.
Beliau yang juga Exco kerajaan Selangor meninggal di Chennai, India. - mks.

No comments: