Wednesday, April 11, 2007

Menjelang pilihan raya umum, media rancang tutup kelemahan Abdullah

Basiron Abdul Wahab Wed Apr 11, 07 01:18:10 PM
TEMERLOH, 11 April (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendedahan kes rasuah secara bermusim di media massa adalah suatu bentuk perang saraf terancang bagi menutup kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam memerangi rasuah.
Katanya, perkara sama juga berlaku di awal pemerintahan beliau dahulu sebelum sepi dan kini disemarakkan kembali dipercayai sebagai strategi untuk menghadapi pilihan raya umum tidak lagi.
Beliau mengulas isu banyaknya laporan kes rasuah disiar media cetak dan eletronik sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, semasa mula-mula mengambil kuasa dahulu, banyak laporan kes rasuah termasuk kes berprofil tinggi didedahkan media tetapi selepas itu lenyap begitu sahaja kecuali beberapa kes sahaja yang diteruskan pendakwaannya di mahkamah.
Media hari ini mendedahkan kertas siasatan kes rasuah membabitkan bekas Ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Seri Zulkifli Mat Nor akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya minggu ini. Berita mengenainya disiar secara meluas oleh media cetak dan eletronik. Turut disiar ialah berita siasatan BPR terhadap Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA).
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyifatkan media berusaha keras meningkatkan imej Abdullah melalui penampilannya di media dalam isu terpilih.
Bagaimanapun kata beliau, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak kononnya Abdullah tidak perlu turun berkempen dalam pilihan kecil di Machap, Melaka menimbulkan persoalan kerana Abdullah dilihat turut berkempen dalam dua pilihan raya kecil sebelum ini iaitu di Kuala Berang dan Pengkalan Pasir, Kelantan.
"Adakah Abdullah sudah menyerahkan kuasa kepada timbalannya itu sehingga diumumkan demikian oleh timbalannya itu?" soal beliau. - mks.

No comments: