Monday, April 23, 2007

Perlu wujud undang-undang larang kerajaan tabur janji

Intan Abdullah Tue Apr 24, 07 12:05:35 PM
KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - Sebaik sahaja pilihan raya berlaku, maka kerajaan seharusnya ditahan daripada mengumumkan sebarang projek pembangunan, demikian kata pengkaji sistem pilihan raya, Wong Chin Huat.
Menurutnya, jentera kerajaan seharusnya menunjukkan 'keberkecualian pentadbiran' (administrative neutrality) kerana ia milik semua rakyat tanpa mengira fahaman politik dan parti.
Tegas beliau lagi, keadaan ini menunjukkan bahawa negara ini perlu kepada undang-undang yang melarang kerajaan daripada menabur janji-janji kosong dan hadiah selepas sesuatu kerusi itu dikosongkan.
Wong menjelaskan, dalam jangka masa pilihan raya, kerajaan yang ada adalah bersifat "caretaker government" atau kerajaan sementara kerana mandat yang ada sebelum ini telah pun tamat dan dalam pilihan raya kecil, kerajaan seharusnya mengelakkan diri daripada menggunakan sumber kerajaan pusat mahupun negeri untuk merayu undi bagi parti tertentu.
Justeru, ujar beliau apa yang perlu ialah mengubah undang-undang supaya perbuatan itu dihalang dan ditegah daripada terus disalahgunakan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa proses penggubalan undang-undang ini boleh berlaku tanpa bergantung kepada semata-mata mendesak kerajaan negeri atau persekutuan BN kerana kerajaan negeri Kelantan boleh menjadikannya satu kenyataan.
"PAS dan Barisan Alternatif(BA) boleh menjadi pemimpin dalam reformasi pilihan raya dan biarkan Umno dan BN menjadi pengikut arus perubahan ini," ujarnya tegas.
Pada pandangan beliau, Kelantan perlu menegakkan dirinya sebagai serambi demokrasi dan ia adalah satu cabaran kepada Kelantan dalam menjadikan dirinya sebagai teladan kepada Barisan Nasional dan model kepada rakyat dalam mencerminkan wajah sebenar politik demokrasi.
Kerajaan Kelantan boleh menggubal undang-undang untuk menggariskan undang-undang untuk pilihan raya kecil dan umum bagi Dewan Undangan Negeri.
Sebaliknya, jika PAS berjaya melakukannya, ia akan membuktikan kelebihan politik Islam yang berbeza daripada politik BN. Semua pihak akan dapat melihat momentum perubahan itu datang daripada PAS dan BA.
Beliau juga menjelaskan bahawa norma demokrasi, dan bukan undang-undang sedia ada yang harus menjadi panduan kita. Ini kerana apa yang sah dari segi undang-undang tidak semestinya absah daripada segi demokratik.
Dengan menggubal undang-undang mengenai keberkecualian pentadbiran, PAS dan BA dapat menyeragamkan undang-undang dengan norma demokrasi.
Ketika menerangkan peri-pentingnya keberkecualian pentadbiran berhubung dengan senario yang sedang hebat diperkatakan ini, Wong berkata rakyat berhak mendapatkan segala peruntukan sepanjang tahun, Jika pembangunan sampai hanya apabila wakil rakyat meninggal dunia, maka pada hakikatnya rakyat telah dirampas haknya.
Bahkan, pada kebiasaannya mereka disogokkan dengan penyataan bahawa jika mereka menyokong pembangkang, nescaya mereka tidak akan dapat menikmati pembangunan di kawasan mereka, ulasnya lagi. - mks.

No comments: