Anis Nazri Fri Apr 06, 07 07:07:29 PM
KUALA LUMPUR, 6 April (Hrkh) - Tindakan Presiden Iran, Mahmood Ahmadinejad membebaskan semua 15 tahanan tentera marin Britain menunjukkan kepintaran dan kematangan Iran menangani isu diplomatik, sekaligus menjadikan negara itu muncul menjadi kuasa besar baru.
Dalam masa yang sama, tindakan Iran itu dilihat mampu memalukan negara-negara Eropah, kerana mengambil langkah bijaksana dan tenang sepanjang menangani krisis berkenaan.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata tindakan Iran memberi layanan baik kepada kesemua tahanan, tanpa sedikitpun mengasari mereka dilihat sebagai satu amaran kepada kuasa besar.
"Iran dapat membezakan tahanan-tahanan tersebut dengan tidak mengasari mereka. Malah, bertindak mengampunkan tentera terbabit. Berbanding dengan Amerika yang bertindak menahan tahanan di Teluk Guantanamo, di samping menyeksa dan mendera mereka," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Semua 15 askar Britain yang dibebaskan kelmarin, memohon maaf di atas tindakan mereka menceroboh perairan Iran serta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahmadinejad.
Mereka yang ditahan selama 13 hari sejak 23 Mac lalu ketika berada di perairan Iran, turut memuji layanan pihak berkuasa Teheran yang disifatkan mempamerkan sikap penuh hormat dan bermaruah.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan semua askar dan Marin Britain itu meninggalkan Iran dengan pesawat pada jam 8 pagi waktu tempatan.
Sementara itu, stesen televisyen Arab Iran, Al-Alam menyiarkan aksi askar terbabit yang ketawa sambil membuka hadiah dan sempat meneguk teh ketika menunggu di Bilik Presiden serba mewah di Lapangan Terbang Antarabangsa Teheran.
Antara buah tangan tradisi Iran yang diterima ialah hasil kraf tangan tempatan dan kacang Pistachio. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment