SMH Mon Apr 16, 07 02:22:17 PM
KOTA BHARU, 16 April (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan menuntut sebanyak enam kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri dari Badan Perhubungan PAS Kelantan bagi meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Perkara itu diumumkan sendiri Pengarah Pilihan Rayanya, Abdul Hamid Ahmad, dalam sidang akhbar baru-baru ini, di pejabat KeADILan Negeri, di sini.
Katanya, KeADILan Negeri akan membawa hasrat tersebut kepada PAS Negeri secepat mungkin untuk mendapat reaksi.
“Bagaimanapun kami menghormati sebarang keputusan yang diambil oleh pihak PAS sama ada menerima atau sebaliknya.
“Sekiranya PAS menolak hasrat kami, rundingan demi rundingan akan terus dilakukan,”ujarnya.
Hamid memberitahu, 15 Dun dan enam Parlimen yang bakal dikemukakan kepada PAS bukan yang telah dimenangi parti itu dalam pilihan raya umum yang lalu.
Sebaliknya, Dun dan Parlimen terbabit, jelasnya dimenangi oleh calon-calon Umno dan Barisan Nasional (BN).
Hamid bagaimanapun enggan menyebut enam kerusi Parlimen dan 15 Dun sebagaimana yang dimaksudkan itu setakat ini.
Katanya, PAS seharusnya menerima cadanga KeADILan, memandangkan beberapa perkara.
“Antaranya, kedudukan parti kami yang kini semakin kuat serta keahlian baru juga semakin meningkat lagipun, PAS tidak dapat tidak harus menerima kenyataan mereka tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.
“Sejarah sendiri telah membuktikan kemenangan PAS di negeri ini banyak bergantung kepada penyatuan atau pakatan dengan parti-parti lain,”ujarnya.
Lagipun, jelasnya calon-calon yang bakal diletakkan oleh KeADILan dalam pilihan raya umum itu nanti terdiri dari pelbagai peringkat, antaranya golongan akademik, professional korporat, bekas pegawai tadbir dan berbagai lagi.
“PKR merasakan PAS wajar untuk mempertimbangkan hasrat ini untuk memberi ruang pada pihak kami sebagai usaha bersama untuk mempertahankan kerajaan Kelantan.
“Kemenangan yang kecil calon PAS dalam pilihan raya umum lalu juga harus dijadikan iktibar bersama bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan,”ujarnya.
Sebelum ini KeADILan diberi peluang meletakkan calonnya di dua Dun dalam pilihan raya umum lalu, iaitu di Nenggiri dan Paloh, manakala tiga calon di peringkat Parlimen iaitu, Kota Bharu dan Ketereh. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment