Wednesday, April 18, 2007

Pastikan ledakan perubahan bermula di Ijok - Anwar

Intan Abdullah Wed Apr 18, 07 06:09:19 PM
BATANG BERJUNTAI, 18 April (Hrkh) -Demi memenangi hati rakyat di Ijok, jentera Barisan Nasional (BN) sanggup mengerahkan pihak kontraktor untuk membaiki jalan raya pada malam hari.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap BN yang sanggup membaiki jalan raya pada malam hari bagi memenangi hati rakyat di sesuatu tempat hanya apabila menjelang pilihan raya kecil sahaja.
Beliau yang berucap malam tadi semasa penamaan calon KeADILan turut mempertikaikan keadaan ekonomi negeri selangor yang dikatakan kaya, tetapi realitinya keadaan kampung di Ijok dan rakyatnya miskin dan menderita.
Anwar dalam ucapannya itu turut mengulas mengenai calon KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa, beliau merupakan seorang tokoh korporat yang sanggup turun ke bawah untuk bekerja dan berkhidmat dengan rakyat dengan sanggup meninggalkan jawatan yang besar di Perbadanan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk bantu penduduk Ijok.
"Beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) iaitu seorang korporat yang mengurus projek bernilai puluhan bilion ringgit tetapi pada masa tersebut, beliau tiada sebarang laporan yang menyatakan beliau mencuri wang atau saham PNB yang boleh mencacatkan nama beliau," jelasnya kepada ribuan hadirin yang hadir malam tadi.
Anwar juga menjelaskan, bahawa hal yang berbeza berlaku kepada kebanyakan korporat besar lain yang seringkali sukar dilihat mempunyai rekod yang bebas daripada gejala rasuah di kerusi-kerusi besar kerajaan.
Beliau juga dengan nada menempelak mengatakan, "bolehkah kita kata pak menteri yang lain tak ambil kesempatan terhadap projek besar yang dijalankan, seperti Menteri Besar yang tidak bersih yang pernah dilibatkan dengan kes rasuah sebelum ini?"
Dalam pada itu, Anwar mendakwa kedudukan MIC kelihatan goyah dengan peletakan Tan Sri Khalid sebagai calon lawan bagi mewakili KeADILan.
Beliau menyatakan bahawa masyarakat India khususnya perlu melihat bahawa masalah yang dihadapi oleh penduduk India hingga saat ini masih tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya sehingga timbul pelbagai masalah dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan yang tidak mengubah nasib mereka jika dibandingkan dengan kepimpinan MIC.
Dalam pada itu, Anwar mengharapkan akan berlaku satu ledakan perubahan di negara ini dalam pilihan raya kecil ini kelak.
Justeru, beliau menyeru agar penduduk Ijok melakukan perubahan dengan meletakkan Tan Sri Khalid sebagai wakil rakyat Dun Ijok menjelang hari pembuangan undi pada 28 April akan datang nanti. - mks.

No comments: