Friday, April 6, 2007

Lojing: Husam beri taklimat untuk wakil PAS

KOTA BARU: Kerajaan Kelantan akan memberikan taklimat mengenai isu Lojing kepada wakil rakyat PAS di negeri itu Ahad ini, kata pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Husam Musa.Beliau, yang tidak menyatakan tempat taklimat itu akan diadakan, berkata taklimat itu penting kerana "serangan" terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS berhubung isu itu disebabkan jangkaan pilihan raya umum semakin dekat.Bercakap dalam kuliah mingguan di perkarangan Pejabat PAS di sini hari ini, Husam berkata pencemaran alam sekitar di Lojing adalah berpunca daripada kegiatan penanaman sayuran dan bukan pembalakan.Husam yang juga naib presiden PAS mendakwa kebanyakan tanah terbabit diberikan kepada syarikat untuk diusahakan semasa Kelantan diperintah oleh Barisan Nasional sebelum 1990."Sebenarnya balak sudah tidak ada di Lojing dan masalah itu berpunca daripada penanaman sayur. Kami cuba mendapatkan balik tanah itu tetapi kebanyakan kes itu masih dalam proses mahkamah," katanya.Husam juga mempersoalkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat terbabit sehingga merosakkan mutu alam sekitar di kawasan itu."Sejak tahun 2000, JAS mengeluarkan notis kepada 22 operator dan tiada tindakan lain sedangkan mengikut undang-undang, mereka yang terbabit boleh didenda RM1,000 setiap hari jika ingkar kepada notis itu dan tidak mengambil sebarang tindakan membaikinya," katanya.Beliau mendakwa antara pihak yang terbabit termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) yang menyewakan lebih 2,000 hektar di kawasan tanah tinggi itu kepada petani Cameron Highlands."Saya dimaklumkan oleh sumber bahawa 10 amaran dikeluarkan kepada Kada dan kertas siasatan sudah dikeluarkan tetapi kes itu dipendamkan," dakwanya.Lojing di Gua Musang dekat Cameron Highlands menjadi isu apabila ditimbulkan setiausaha parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sazmi Miah, yang menaiki helikopter meninjau kawasan itu baru-baru ini, melaporkan kegiatan pembalakan di Lojing lebih teruk daripada apa yang digambarkan oleh JAS. BERNAMA

No comments: