Wan Nordin Wan Yaacob Wed Aug 01, 07 06:12:04 AM
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Mutakhir ini, persoalan mengenai integriti semakin hangat diperkatakan setelah banyak kes membabitkan soal penghakisan nilai integriti itu didedahkan lebih-lebih lagi melibatkan teraju kepimpinan negara dan politik.
Dalam suasana ekonomi ala kapitan ini, perasuah, penyangak ekonomi dan kroni mampu berdiri dengan utuh menggungguli persada kepimpinan negara dengan taburan wang untuk kepentingan mereka.
Hakikatnya, pembahagian kekayaan negara kini berjalan tempang dengan amalan rasuah dan sogokan wang ini yang memangsakan golongan tertindas dan pembayar cukai kepada negara.
Pembolotan projek atas nama kroni, kerenah birokrasi, gejala sosial yang parah dan korporatisasi yang membebankan rakyat semuanya berpunca dari terhakisnya integriti dalam diri individu, rakyat, kakitangan awam serta swasta dan kepimpinan negara atau politik itu sendiri.
Meski pun Pelan Integriti Nasional (PIN) dilancarkan pada tahun 2004 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, namun pelan ini tidak mampu menilaikan semua integriti rakyat mahupun kepimpinan negara yang tergadai dengan wabak rasuah.
Malah sekalipun kepimpinan kini yang ditunjangi Abdullah dilihat terbuka untuk memerangi isu penghakisan integriti di kalangan kakitangan awam dan rakyat, namun kenyataan itu dilihat hanya omong kosong dari kepimpinan yang tiada 'political will' untuk mengatasinya.
Akhirnya mereka di kalangan pemimpin yang dituduh dengan bukti yang kukuh merasuah, menyebabkan rasuah dan penyelewengan berjuta ringgit terlepas dari tindakan, sementara kakitangan awam yang kecil dihukum kerana rasuah yang dilakukan dengan nilai suapan yang kecil.
Inilah hakikat yang berlaku menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Amalan Rasuah (CPI) semakin buruk dari tangga ke-39 pada tahun 2005 kepada 44 bagi tahun 2006.
Mana tidaknya, hari ini mereka yang membuat laporan berhubung isu rasuah akan ditahan sementara yang dikatakan melakukan rasuah bebas tanpa sebarang siasatan ke atasnya.
Budaya takut menular bukan sahaja di kalangan masyarakat, malah kepada kelompok akademik dan mahasiswa yang dahulunya adalah kelompok yang mampu menjadi pemantau kepada sistem pemerintahan negara.
Mutakhir ini, kelompok mahasiswa dan ahli akademik (Pensyarah) bukan lagi dilihat sebagai suara yang mampu menegur atau memberi pandangan kepada kepimpinan kerajaan setelah diikat dengan segala macam peraturan termasuk 'Akujanji', kata bekas Ketua Pemuda PAS, Dato' Mustafa Ali.
Mustafa yang juga Ahli Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam satu forum membincangkan peranan pemuda dalam membantu kepada integriti nasional yang diadakan di Institut Integriti Malaysia di Jalan Duta semalam menyifatkan dunia mahasiswa kini telah 'mandul'; dan dimandulkan oleh 'Akujanji'.
Turut serta sebagai panel dalam forum itu ialah, Naib Presiden KeADILan, Mustaffa Kamil Ayub; Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw (DAP); Pensyarah UKM, Dr Shamsul Amri dan moderator, Dato' N.Sivasubramaniam dan Presiden IIM, Dato' Dr Mohd Tap Salleh.
Mengulas lanjut, Mustafa menyifatkan senario kemandulan itu membawa satu kekurangan kepada proses integriti dalam melahirkan kepimpinan negara masa akan datang.
Katanya, kekurangan itu berlaku setelah lapangan yang melahirkan kepimpinan suatu masa lalu yang disegarkan di setiap universiti kini telah disekat.
Jika dahulu katanya, mahasiswa didedahkan dengan beberapa forum terbuka dan debat yang dianjurkan oleh universiti sementara kakitangan akademik pula bebas memberi pandangan terhadap isu negara.
Malangnya situasi itu kini berbeza sama sekali, katanya.
'Akujanji' diperkenalkan kepada mahasiswa untuk menakut-nakutkan golongan itu yang akhirnya membuatkan mahasiswa tidak memiliki kebolehan atau pengetahuan yang menyebabkan ketidakmampuan untuk bersaing di pasaran pekerjaan, ujar Mustafa yang juga bekas ahli Parlimen Dungun dan Exco Kanan Kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1999.
"Bila pergi temuduga, mereka tak tahu nak jawab hatta soalan asas mengenai isu terkini kerana mereka terlalu ditekan dan menyebabkan mereka hanya menelaah buku teks mereka sahaja tanpa mengetahui perkembangan terkini.Banyak benda yang mereka tidak tahu, ini salah satu sistem yang ada kini,"katanya.
Sementara golongan akademik pula disekat dari memberi kenyataan atau pandangan yang berupa kritikan terhadap kerajaan, katanya.
"Hal ini menjadikan kini mahasiswa dan pensyarah sama-sama penakut,"katanya.
Menyentuh mengenai peranan golongan muda dalam memulihkan integriti nasional yang kian pudar Mustafa berkata, golongan pemuda boleh berperanan sebagai penegur kepada kepimpinan di peringkat organisasi mereka mahupun masyarakat umum.
Pemuda perlu ada keberanian menyatakan teguran mereka kepada bukan sahaja soal di luar organisasi, tetapi dalam organisasi mereka sendiri dengan lunas yang ada dan etika organisasi mereka, katanya.
"Ada organisasi yang bila pemudanya tegur banyak-banyak kali, akhirnya yang menegur kena pecat. Ada juga yang toleransi macam PAS, pemudanya boleh menegur kepimpinan.Masa saya memimpin pemuda dulu saya mengkritik pimpinan, kini bila saya dah berumur saya pula ditegur, kita terbuka dalam PAS,"tegasnya.
Justeru itu dalam mengembali dan memulihkan integriti di peringkat kepimpinan negara, organisasi dan sebagainya tatkala persoalan integriti kini menjadi isu utama kerana berlakunya penghakisan integriti, beliau menyeru IIM yang ditubuhkan bagi tujuan memulihara integriti perlu melakukan perubahan.
"Saya rasa perlu IIM memainkan peranan dalam kes ini.Sebut soal kesedaran, kesedaran kepada pemimpin itu sendiri begitu penting dan IIM berfungsi menegur jika ada sahaja perkara yang tidak kena dengan pemimpin itu sendiri yang menghakis integriti.Dengan kebijaksaan IIM, dapatan yang diperolehi dalam forum hari ini perlu dimanfaatkan,"tegasnya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment