Sunday, July 29, 2007

Rebut kerusi menjelang pilihan raya, semangat setiakawan BN hanya lakonan

Azamin Amin Mon Jul 30, 07 12:42:31 PM
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Budaya 'berebut' kerusi di saat menjelang pilihan raya sudah menjadi satu tradisi yang tidak asing dalam Barisan Nasional (BN) sehingga dilihat seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan peribadi atau parti masing-masing berbanding agenda melindungi nasib rakyat jelata.
Terbukti, kesatuan atau kerjasama yang 'dimomokkan' oleh BN melalui komponennya kepada rakyat selama ini adalah sekadar lakonan dan telah dizahirkan dengan tindakan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Dato' M Kayveas mengugut keluar daripada BN jika tuntutan kerusi tidak dipenuhi.
Kayveas dilaporkan mahukan BN mengembalikan semula empat kerusi Parlimen, 12 kerusi negeri, 79 kerusi majlis dan jawatan Datuk Bandar Ipoh yang pernah dipegang PPP, satu ketika dulu.
Mengulas perkembangan ini, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata gabungan parti komponen BN selama ini adalah berasas kepada sentimen perkauman dan kepentingan peribadi yang tidak langsung merujuk kepada agenda membela nasib rakyat jelata malah 'setiakawan' yang diuar-uarkan sekadar kosmetik untuk mengaburi rakyat selama ini.
"Setelah 50 tahun merdeka, saya tidak yakin wujud persefahaman dan semangat nasional di antara parti komponen BN tetapi mereka bertahan disebabkan wujudnya kuasa,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Tanpa kuasa, ketaatan kepada BN akan berakhir pada bila-bila masa dan kes PPP ini merupakan 'time-bomb' yang akan meledak kepada parti komponen BN," katanya.
Katanya rakyat khususnya para pengundi sewajarnya sedar akan kelemahan dan 'lakonan' yang dimainkan oleh BN selama ini dan beralih kepada parti alternatif seperti Barisan Alternatif (BA) yang lebih telus memperjuangkan nasib rakyat dan benar-benar mahu menuntut sebuah demokrasi tulen di negara ini yang semakin pincang akibat kerakusan salah guna kuasa pemimpin BN selama ini.
"Berbanding BN, BA mempunyai sikap 'mutual respect' saling hormat antara satu sama lain dan PAS sentiasa mengutamakan pendirian ini memandang ianya merupakan tuntutan Islam selama ini, " katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kewujudan berbangsa-bangsa atau berpuak-puak merupakan 'god given' ataupun anugerah Allah yang seharusnya ditangani dengan kaedah yang dianjurkan oleh Islam iaitu 'Litaraffu' atau konsep 'saling kenal-mengenal dan hormat-menghormati' dan bukannya mengutamakan kaum atau etnik masing-masing sehingga mecetuskan perbalahan seperti yang berlaku dalam BN kini.
"Lihat sahaja, Umno perjuangkan agenda Melayu, MCA dengan sentimen Cinanya begitu juga dengan parti-parti lain yang boleh mengakibatkan ketegangan dan suasana yang tidak tenteram dalam negara," katanya lagi.
"Bagi PAS dan BA, perjuangan tidak langsung berlandas kepada kaum tertentu tetapi atas dasar hak bersama untuk menentang kezaliman dan menegakkan keadilan dalam negara yang tercinta," katanya. - mks.

No comments: