Intan Abdullah Mon Jul 16, 07 03:04:43 PM
KUALA LUMPUR, 16 Julai(Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan Badan Bertindak Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) agar memantau tindakan dan salahlaku Umno dalam pilihan raya umum ke-12 nanti.
Ini adalah berhubung tindakan Umno Rompin yang mengadakan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rompin yang diadakan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada 14 Julai lalu seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan 15 Julai baru-baru ini.
"PAS Pahang kesal dengan tindakan Umno yang mengadakan program parti yang jelas bersifat politik di dalam sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang mana berlanggaran dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti," katanya ketika dihubungi oleh Harakahdaily.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan ini adalah bukti secara tradisinya sikap Umno yang suka melanggar peraturan yang dibuat oleh kerajaan yang diterajuinya.
Tambahnya, rakyat boleh menilai sendiri sikap yang ditunjukkan oleh Umno yang secara sembrono melanggar apa sahaja undang-undang tanpa rasa bersalah.
"Kalau Umno boleh masuk kampus, ini tidak adil kepada parti politik lain yang selama ini disekat daripada mendekati golongan mahasiswa dan institusinya," ujarnya.
Lebih malang lagi ujarnya, program Umno tersebut mengganggu tugas kakitangan dan mahasiswa kampus terbabit dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
"Walaupun beliau adalah Timbalan Presiden Umno, sudah tentu pihak kampus tersebut perlu mengadakan persiapan bagi menyambut kedatangan beliau, dan ini secara tidak langsung mengganggu kakitangan dan mahasiswa di samping tugasan asasi yang telah sedia ada," katanya lagi.
Umno jelasnya adalah merupakan satu-satunya parti politik yang merosakkan amalan demokrasi yang telah lama diamalkan dalam negara setelah 50 tahun merdeka.
Sementara itu, Tuan Ibrahim juga memaklumkan bahawa di Terengganu, Umno menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai tempat mereka mengadakan program.
"Mesyuarat-mesyuarat Umno kebanyakannya dibuat di sekolah-sekolah tanpa segan silu. Ini salah guna kuasa yang jelas," tegasnya.
Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rompin dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis yang juga merupakan Ketua Umno bahagian tersebut. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment