Saturday, July 14, 2007

BN tidak 'tidur lena' dengan manifesto PAS

Johari Jaffar Sat Jul 14, 07 08:34:12 AM
IPOH, 14 Julai (Hrkh) - Manifesto PAS yang bakal digemakan pada pilihan raya umum ke-12 nanti, `Negara Kebajikan dan Negara Keadilan Untuk Semua’, merupakan pendekatan yang sangat relevan dan mampu `menyentuh hati’ rakyat negara ini dan menyebabkan Barisan Nasional (BN) tidak 'tidur lena'.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, ketika mengulas manifesto tersebut yang dilancarkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Manifesto tersebut yang dicadangkan bersama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pastinya akan dapat `mencuri’ perasaan rakyat negara ini yang dahagakan keadilan dan mengharapkan kerajaan yang dipilih nanti mampu memberikan kesejahteraaan dan keadilan untuk semua rakyat.
“Semua manusia mahukan keadilan, benci kepada kezaliman dan penindasan, begitu juga semua rakyat mahu kebajikan mereka dipeliharakan , kerana itu apabila kebajikan mereka tidak dihiraukan, umpamanya gaji yang tidak sepadan dengan kerja, rawatan di hospital dikenakan bayaran, rakyat rasa tidak selesa dan menganggap kebajikan mereka telah dinafikan,” kata beliau.
Rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama menuntut kepada keadilan dari segi undang-undang, dari segi hak bersuara, hak mendapatkan pendidikan dan sebagainya.
“Nasib mereka yang tidak terbela dan hidup dalam kemiskinan bukan hanya orang Melayu sahaja, kita jangan lupa orang India dan Cina pun ada yang miskin, tidak terbela, tetapi bila manifesto PAS yang mengungkapkan kebajikan dan keadilan untuk semua, ianya mencakupi seluruh rakyat yang nasib mereka tidak terbela pastinya akan dibela,” ujar beliau.
Beliau mengucapkan syabas kepada PAS Pusat yang turut meletakkan gaji minima sebagai satu daripada matlamat dan akan diperjuangkan, begitu juga pendidikan dan rawatan kesihatan percuma.
Pandangan jauh pimpinan PAS itu pastinya mengembirakan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama kerana PAS yang mereka kenali sekarang turut membela nasib mereka.
“BN pastinya akan mencari hujah lain dan idea baru bagi `meracuni pemikiran bukan Islam agar tidak memberi undi kepada PAS dan KeADILan, namun rakyat yang berfikiran matang pastinya tidak terpengaruhi dengan `kata-kata beracun’ yang dilemparkan oleh BN,” katanya.
Beliau yakin pilihan raya umum kali ini akan memberikan saingan paling sengit kepada BN dan BN pastinya tidak boleh `tidur lena’ dengan pendekatan yang diambil oleh PAS dan PKR pada pilihan raya umum ke-12 kali ini. - mks.

No comments: