Sunday, July 8, 2007

Jenayah: Pihak berkuasa disaran adakan sekatan perjalanan
Basiron Abdul Wahab Mon Jul 09, 07 09:58:20 AM
TEMERLOH, 9 Julai (Hrkh) - Pihak berkuasa dicadangkan agar memperkenalkan sekatan perjalanan kepada warga asing yang berkerja di sesuatu lokasi agar mereka tidak bebas bergerak ke mana-mana destinasi di dalam negara dengan mudah demi memastikan kegiatan jenayah di kalangan mereka dapat diatasi.
Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPP) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily menyebut, dalam beberapa kes terdapat penglibatan di kalangan warga asing yang menjadi dalang dan terlibat dalam kes-kes jenayah yang berlaku di negara ini.
Terdahulu DPPP mengalu-alukan usaha Ahli Qariah Masjid At Taqwa, Kampung Awah memerangi jenayah dengan menubuhkan Badan Bertindak Anti-Jenayah (BBAJ) di Mukim Bukit Segumpal, Maran.
Timbalan Ketua DPP Pahang, Suhaimi Md Saad berkata, kekecewaan penduduk terutama mereka yang pernah menjadi mangsa jenayah seharusnya dipandang serius pihak berkuasa.
Walaupun tindakan BBAJ tidak disenangi sesetengah pihak tetapi BBAJ telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub 5 Julai lalu.
Suhaimi berkata, peningkatan kes jenayah sejak kebelakangan ini menolak laporan terdahulu yang diuar-uarkan kononnya keselamatan rakyat terjamin tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Penduduk Mukim Segumpal umpamanya begitu tertekan apabila jenayah berlaku berturut-turut walaupun penduduk telah membuat laporan polis.
Difahamkan enam kes pencerobohan dan pecah rumah berlaku pada 20, 21 Jun dan 2 Julai lalu di kawasan terbabit yang mengakibatkan kerugian harta benda penduduk.
Dalam kejadian tersebut, mangsa diugut dan diikat sebelum penjenayah melarikan harta benda.
Mangsa mengesyaki (berdasarkan loghat pertuturan) penjenayah adalah warga asing.
Pihak berkuasa disyor memperkenalkan sekatan perjalanan kepada warga asing yang berkerja di sesuatu lokasi agar mereka tidak bebas bergerak ke mana-mana destinasi di dalam negara dengan mudah.
"Katakanlah jika permit bekerja di Kuala Lumpur, warga asing terbabit tidak dibenarkan keluar dari kawasan Kuala Lumpur dengan sewenang-wenangnya, jika melangar larangan, hukum berat perlu dikenakan sebelum dihantar pulang ke negara asal," ujarnya.
Ini kerana terbukti daripada beberapa kes yang diselesaikan menunjukkan penjenayah itu tinggal jauh daripada lokasi mangsa dan akan kembali semula selepas melakukan jenayah.
Menurut Suhaimi lagi, apa yang berlaku di Maran itu, juga berlaku di kawasan-kawasan lain.
Ini menuntut pihak berkuasa mempertingkatkan usaha membanterasnya dan dalam hal ini Suhaimi mengucapkan syabas kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut kerana berjaya mengadakan sekatan jalan raya 24 jam di laluan Temerloh-Jerantut.
"Tindakan itu sekurang-kurangnya menakutkan penjenayah untuk melalui laluan terbabit.
"Sepatutnya sekatan serupa diadakan di semua laluan utama di setiap daerah serta laluan terpencil bagi memudahkan operasi mengesan penjenayah dapat dilakukan dengan dengan mudah dan berkesan," katanya.- mks.

No comments: