Saidah Hairan Thu Jul 26, 07 02:43:26 PM
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) – Kegagalan pimpinan Umno melunaskan amanah walaupun sudah bertahun-tahun diberi kuasa, menyebabkan bukan Melayu semakin lantang malah berani mencabar dalam perkara melibatkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, mendakwa pemimpin Umno yang kononnya berjuang untuk membela nasib bangsa Melayu, gagal menunaikan amanah menyebabkan perjuangan mereka tidak kesampaian.
Berdasarkan perkembangan ini, masyarakat Melayu Islam sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dibawa Umno, katanya.
Berhubung usul penggunaan bahasa Malaysia bagi menggantikan bahasa Melayu yang diluluskan sebulat suara dalam mesyuarat Perwakilan Umno Ledang, Muar, katanya, ini membuktikan bahawa perjuangan mereka untuk menjaga periuk nasi sendiri bukan untuk menegakkan idealisma perjuangan bangsa dan agama.
Katanya, pimpinan Umno hanya memperalatkan orang Melayu dan agama Islam semata-mata untuk mendapatkan undi bagi memenangkan parti mereka.
Bagaimanapun mereka akan melepaskan diri apabila mendapat tekanan yang menyebabkan kepentingan dunia mereka terpelanting jika melibatkan survival bangsa dan agama.
Idris berkata, desakan penggunaan bahasa Malaysia itu sama dalam isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di mana terdapat suara ahli Umno yang menentang tetapi apabila ditegur Umno Pusat mereka terus menyokong WPI.
"Perkara ini juga akan berulang dalam usul yang dibangkitkan dalam ucapan ketuanya, Dato' Abdul Ghani Othman yang mendapat sokongan sebulat suara," katanya.
Berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik katanya, PAS kesal kerana perkembangan itu telah mengorbankan masa depan pelajar terutama mereka yang tinggal di luar bandar yang sukar menguasai bahasa Inggeris.
Katanya, PAS bukan menentang penggunaan bahasa Inggeris sebaliknya menyokong usaha untuk meningkatkan penggunaan bahasa itu kerana ia merupakan bahasa antarabangsa.
"PAS tidak menerima alasan kerajaan untuk menguasai bahasa Inggeris ia mesti diajar melalui mata pelajaran Sains dan Matematik," kata beliau.
Beliau berkata, PAS amat berbangga dengan penegasan pimpinan masyarakat Cina melalui Dong Zong Jiong dan parti Gerakan yang menentang secara terbuka penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Katanya, seorang profesor dari UKM yang membentangkan kertas kerja di Kongres Pendidikan Melayu Kedua tidak lama dulu berkata setengah juta pelajar Melayu akan gagal dalam pelajaran akibat penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek itu. – lanh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment