Sunday, July 8, 2007

Negara kebajikan, negara keadilan prinsip manifesto PAS - Abdul Hadi

Nyza Ayob Sun Jul 08, 07 06:28:04 PM
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Hrkh) - Negara kebajikan dan negara keadilan untuk semua merupakan prinsip utama manifesto bersama PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dalam pilihan raya akan datang.
Antara yang akan diperjuangkan termasuklah gaji minimum, rawatan serta pendidikan percuma. Demikian antara yang disuarakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai persediaan PAS dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.
Sehingga kini katanya, sebahagian negeri sudah menghantar 60 hingga 80 peratus senarai calon yang dijangka bertanding. Tempoh bagi setiap negeri menghantar senarai calon yang akan bertanding ialah sebelum September ini.
Senarai tersebut katanya akan dihantar kepada Majlis Syura Ulama untuk diluluskan bagi menyelidik latar belakang calon yang mana akan diteliti bukan sahaja kelayakan akademik yang dimiliki, tapi termasuk akhlak calon.
Tambah calon wanita
Sebagaimana pilihan raya 2004, PAS juga katanya tetap akan meletakkan calon wanita. Malahan kerusi untuk calon wanita juga akan bertambah.
Di samping itu setiap negeri diminta membuat persediaan untuk manifesto pilihan raya dengan kerjasama rakan Barisan Alternatif, KeADILan.
Jelasnya lagi, PAS juga telah mengenal pasti kawasan yang dijangka akan ditandingi. Bagaimanapun jumlah kawasan tersebut belum dapat diumumkan kerana belum mendapat persetujuan daripada KeADILan mengenai pembahagian kerusi.
Tambahnya, PAS terlebih dahulu akan melihat sejauh mana pembahagian kerusi dilakukan dengan KeADILan di samping memastikan semua kawasan bertanding termasuk kawasan Parlimen.
Jelas Abdul Hadi, pilihan raya yang bersih, serta media yang adil tanpa sebarang tekanan dan kongkongan merupakan antara harapan PAS menjelang pilihan raya akan datang.
"Sekurang-kurangnya Malaysia mencontohi negara seperti Indonesia dan Thailand yang tidak mengongkong media dalam laporan pilihan raya negara tersebut," katanya
Sementara itu, menjawab soalan wartawan yang menganggap KeADILan kini sudah kehilangan sokongan rakyat, Abdul Hadi menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan parti tersebut masih mendapat sokongan masyarakat.
Sambutan ramai
"KeADILan masih mempunyai penyokongnya. Setiap perhimpunan dan ceramah masih mendapat sambutan serta dihadiri dengan jumlah yang ramai. Mungkin ada penyokong yang menyokong secara terbuka dan ada yang menyokong secara diam. Ini termasuk penyokong yang masih berada dalam Umno," katanya seraya berseloroh.
Selain isu pilihan raya, Abdul Hadi juga dikemukakan soalan mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh dalam satu sidang akhbarnya hari ini yang mendakwa PAS sudah hilang identiti serta menolak golongan ulama.
Menjawab dakwaan tersebut, jelas Abdul Hadi, Idris sebenarnya tidak layak bercakap mengenai PAS.
"Di mana kedudukan ulama dalam Umno? Sepatutnya dia terlebih dahulu menyuluh kedudukan ulama dalam Umno.
"Alhamdulillah PAS meletakkan kedudukan ulama di tempat yang sewajarnya. Walaupun ada pertandingan, calon-calon adalah dari kalangan ulama," tegasnya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu membawa satu sokongan serta pengaruh politik kepada PAS, jelas Abdul Hadi rakyat boleh menilai sejauh mana isu itu dibawa.
"Kita mengharapkan kes ini dapat diselesaikan oleh mahkamah dengan adil dan telus serta tidak dikuasai oleh mana-mana pihak," katanya. - mns

No comments: