Saturday, July 28, 2007

Integriti Peguam Negara kian merudum

M Khaleel Kas Sun Jul 29, 07 10:41:00 AM
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Isu penutupan siasatan kes rasuah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan juga bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Zulkifli Mat Noor jelas menggambarkan betapa integriti Jabatan Peguam Negara semakin terhakis dan kian lemah dari masa ke masa.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Fariz Musa, alasan yang diberikan oleh Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa keseluruhan siasatan BPR melalui saksi dan dokumen berkaitan mendapati tiada keterangan yang boleh mengaitkan Musa dengan tohmahan terhadapnya adalah jelas menggambarkan kelemahan prosedur siasatan BPR dalam keadaan imej PDRM semakin terpalit dengan kegiatan gangsterisme yang begitu berleluasa di seluruh negara tanpa kawal selia yang efektif.
"Apakah Gani Patail, dengan penutupan kes Zulkifli, ingin menjelaskan bahawa tuduhan dan fakta-fakta kes yang dibawa oleh bekas Pengarah BPR Sabah Ramli Manan, adalah palsu semata-mata?
"Rakyat tidak akan lupa dengan fakta yang bahawa Zulkifli terlibat dengan jenayah seksual, pemilikan harta yang tidak munasabah dengan pendapatan beliau, dan juga penyalahgunaan harta kerajaan untuk kegunaan peribadi yang dibuktikan dengan penuh fakta oleh Ramli Manan, pun begitu masih terlepas daripada pandangan Peguam Negara,"jelasnya dalam kenyataan yang disampaikan kepada Harakahdaily hari ini.
Tambahnya, AMK melihat ini adalah merupakan satu taktik desperado kerajaan BN untuk menutup kelemahan kedua-dua institusi penting yang dipertanggungjawabkan untuk membasmi rasuah dan jenayah ke akar umbi.
"Malah, jelas kelihatan Peguam Negara terus diperalatkan dan menjadi alat pelaksana nawaitu politik terdesak kerajaan Umno dan Barisan Nasional dengan mengenepikan prinsip-prinsip demokrasi dan perundangan telus.
"Rakyat tidak boleh dihalang untuk terus berasa gusar, dan prejudis dengan kredibiliti kerajaan untuk memerangi rasuah dan jenayah dengan efektif,"tegasnya.
Menurutnya, tindakan terbaru Peguam Negara ini, selepas penutupan kes Johari Baharum jelas menggambarkan kerajaan hanya serius untuk bertindak ke atas insiatif yang menggugat keselesaan mereka, berbanding bertindak serius menyelamatkan Malaysia daripada kemelut penyelewengan demokrasi dan integriti yang kian parah.
"Terbukti, Peguam Negara adalah alat perkakas Barisan Nasional semata-mata,"katanya. - mks.

No comments: