Tuesday, July 10, 2007

PM terus lindungi nama Menteri Umno yang gelapkan wang syarikat? - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jul 11, 07 10:31:19 AM
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Hrkh) - Sikap tidak mahu mendedahkan nama Menteri di kalangan Umno yang didakwa terbabit dengan skandal menggelapkan wang syarikat seperti yang dilaporkan Gerak kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membayangkan helah PM untuk terus melindungi perasuah yang mampu melindungi skandal pembahagian projek kerajaan babitkan PM dan anak menantunya, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
Kegagalan PM dalam mendedahkan nama menteri Umno itu mengesahkan lagi dakwaan pembangkang bahawa agenda perang terhadap rasuah yang dilakukan PM gagal sama sekali, kata Mahfuz.
"Malah tindakan melindungi perasuah di kalangan orang berkepentingan termasuk dalam kes bekas Ketua Pengarah Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia membayangkan betapa korupnya kerajaan pimpinan Abdullah,"katanya kepada Harakahdaily semalam.
Mustahil tidak tahu
"Mustahil dalam jangka masa lebih 10 hari beliau tidak meneliti dokumen yang diserah Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor dan beliau tidak tahu siapa menteri yang dimaksudkan.
"Saya rasa beliau bimbang jika mendedahkan nama menteri itu, beliau juga akan terheret sama dalam isu penyelewengan dan rasuah terutamanya membabitkan anak menantunya seperti yang pernah dilapor Ezam pada akhir tahun lalu,"tegas Mahfuz.
Menurutnya, tentunya menteri terbabit yang berpangkat Tan Sri pernah menjalankan arahan PM berhubung pengagihan kontrak yang perlu diberi kepada anak menantunya, dan ia mungkin menjadi satu halangan kepada PM untuk menyiasat menteri terbabit,tegasnya.
Gagal sama sekali
Sementara itu Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya berhubung kenyataan PM, berkata, kenyataan PM mengesahkan kegagalan perang anti rasuah yang dilakukan orang nombor satu negara itu.
Kenyataan itu memperlihatkan ketidakwibawaan PM dalam kempen memerangi rasuah malah meskipun diberi maklumat tentang kes korupsi membabitkan menterinya selama 10 hari PM gagal untuk mengesan siapa menteri (Umno) terbabit, kata Kit Siang.
Beliau berkata demikian pada 10 Julai lalu ketika mengulas kenyataan PM berhubung isu laporan korupsi yang dibuat Gerak mengenai pembabitan seorang menteri kanan persekutuan dengan tuduhan menggelapkan wang RM30 juta sebuah syarikat bagi melangsaikan hutang peribadinya.
Dokumen setebal 632 nyatakan pembabitan menteri bertaraf Tan Sri
Pada 29 Jun lalu, Ezam menyerahkan dokumen setebal 632 muka surat yang mengandungi bukti-bukti terhadap menteri bertaraf Tan Sri itu kepada Pejabat Perdana Menteri.
Dokumen itu diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaacob.
Ia termasuk dua laporan polis yang dibuat oleh Pengarah Urusan syarikat terbabit pada tahun 1998, kenyataan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), resit dan invois bayaran membabitkan “ribuan ringgit”. Ia juga mempunyai 13 lampiran.
“Ini adalah satu kes pecah amanah (CBT). Individu atau rakyat Malaysia yang lain akan ditahan jika wujud dengan jelas kes CBT, jadi menteri itu mesti ditahan segera,” katan Ezam sambil menambah, perbuatan itu berlaku sebelum individu dilantik menjadi menteri.
Begitupun Ezam sendiri tidak mendedahkan nama menteri terbabit dengan alasan mahu PM sendiri yang mendedahkannya.

No comments: