Intan Abdullah Mon Jul 02, 07 01:04:24 PM
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh) - Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Azalina Othman Said bahawa Umno akan melantik penulis siber dalam usaha membanteras 'berita fitnah' mengenai parti itu di internet menggambarkan keadaan terdesak Umno untuk membersihkan imej parti itu di kalangan rakyat.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat ketika dihubungi berkata, kenyataan Azalina itu juga membuktikan kegagalan jentera penerangan Umno untuk berbuat sesuatu bagi membersihkan imej pemimpin dan parti yang semakin dipersoalkan rakyat.
"Kenapa baru sekarang nak bertindak? Atau tindakan mereka selama ini tidak membuahkan hasil? Ini membuktikan bahawa selama ini Umno tidak berbuat sesuatu atau mereka telah gagal," tambahnya.
Azalina ketika bercakap dengan pemberita di Kota Kinabalu selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian, mendakwa dilantik Presiden parti untuk mengetuai kumpulan memerangi fitnah siber.
Menurut Azalina, Umno lambat mempertahankan pemimpin mereka yang diserang dengan pelbagai tuduhan di internet berbanding parti pembangkang seperti PAS yang bertindak cepat.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menyatakan rancangan Umno untuk untuk melantik beberapa penulis khusus bagi membantu parti memantau dan memerangi pelbagai fitnah yang berleluasa di internet, terutama membabitkan kepemimpinan negara.
Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, langkah terbaru Umno itu membuktikan betapa berleluasanya kesalahan yang dilakukan para pemimpin parti itu sehingga tidak mampu dipertahankan media milik Umno dan media kerajaan sedia ada.
Kerajaan juga katanya, tidak akan dapat mengekang dan mengawal kebanjiran maklumat dalam era siber tanpa sempadan ini dalam keadaan rakyat yang dahagakan maklumat.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Salbiah Abdul Wahab berkata, Umno yang menunjangi pemerintahan negara tidak perlu takut jika kelemahan serta keburukan pemimpin mereka diketahui umum kerana jika dilihat secara positif, pendedahan itu dibuat bagi menyelamatkan negara daripada pemimpin yang korup dan membelakangkan kepentingan rakyat dan negara.
"Sampai bila pun mereka (Umno) tidak akan dapat menutup keburukan mereka serta terus menerus menyelamatkan pihak tertentu," jelasnya.
Menurutnya, media yang bersikap berat sebelah serta menyembunyikan fakta sebenar menyebabkan rakyat mengambil sikap mencari sendiri sumber alternatif termasuk internet bagi mengetahui kebenaran.
Ujarnya, tindakan yang dibuat oleh penulis-penulis blog mahupun laman web yang menulis khabar angin bersifat sensasi terutamanya menyentuh individu tertentu adalah natijah daripada kebebasan media yang dikekang.
"Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang," jelasnya ketika mengulas isu itu.
Salbiah menyarankan kerajaan agar memberikan penjelasan setelah penyiasatan dijalankan terhadap sesuatu dakwaan membabitkan pemimpin bagi mengelakkan timbul pelbagai spekulasi dan andaian oleh pihak lain.
Tambahnya, rakyat sedia maklum bahawa kerajaan tidak dapat mengawal maklumat yang terdapat di dalam internet kerana ia bersifat meluas dan melata.
Sementara itu, Azalina dijadual akan mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk menemui pengerusi dan ketua bahagian Umno bagi memberi penerangan mengenai perang siber itu.
“Kita mahu setiap bahagian menyediakan wakil mereka yang boleh membantu Umno dalam perang siber ini,” katanya. - mks/tajdid
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment