Salman Hussin Tue Jul 03, 07 07:27:54 AM
JOHOR BAHRU, 3 Julai (Hrkh) – Dakwaan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, kononnya Umno Johor tidak mengalu-alukan pelaburan Singapura di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) disifatkan sebagai tidak benar.
Ini kerana Umno Johor bersifat sebagai ‘pak angguk’ yang sentiasa bersetuju dengan apa saja keputusan kerajaan, apatah lagi keputusan terhadap cadangan WPI ini dibuat oleh kerajaan Pusat, maka Umno Johor bahkan Kerajaan Johor sendiri pun terpaksa akur dengan keputusan ini, walaupun mungkin terdapat bantahan daripada sebahagian pemimpin Umno di negeri ini.
Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, ketika diminta mengulas kenyataan Lee Kuan Yew baru-baru ini yang mendakwa kononnya pemimpin Umno Johor tidak mengalu-alukan pelaburan republik itu di WPI.
Menurut Mazlan, apa pun isu antara Malaysia dan Singapura ianya diputuskan oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Umno Johor terpaksa patuh dan angguk saja.
Sebagai contoh pengambilan tanah untuk dijadikan sebagai ‘Wilayah Persekutuan’ di Kuala Lumpur, Labuan dan juga Putrajaya, tidak dapat dielak oleh kerajaan negeri terbabit apabila ianya diminta oleh kerajaan pusat.
Begitu juga yang berlaku terhadap WPI ini, tidak timbul soal sama ada terdapat bantahan oleh kerajaan negeri atau pun pemimpin Umno Johor kerana mereka terpaksa akur dengan kehendak dan kemahuan kerajaan pusat.
Bagaimanapun menurut Mazlan, kita percaya ada tentangan dari segelintir pimpinan Umno Johor terhadap projek WPI ini, jadi sekiranya benar mereka membantah WPI ini maka kita minta mereka tunjukkan sikap secara terbuka.
Mazlan yang juga AJK PAS Pusat berkata, hubungan antara Malaysia dan Singapura khususnya dalam projek WPI ini tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan di dunia.
“Untuk majukan Negara sendiri apa perlunya persetujuan pihak asing, perkara seumpama ini tidak pernah dilakukan mana-mana kerajaan di dunia ini tetapi ianya berlaku di Malaysia, ini sangat menghairankan.
“Penubuhan Jawatankuasa Khas di peringkat Menteri antara kedua-dua Negara telah banyak memberi manfaat kepada Singapura, berbagai insentif menarik telah diberikan kepada pelabur Singapura, bahkan kerajaan sanggup mengetepikan kepentingan orang melayu dan Bumiputra semata-mata untuk menarik pelabur Singapura melabur di WPI,"jelasnya.
Justeru kerana itu kata Mazlan, dakwaan Kuan Yew bahawa pemimpin Umno Johor tidak mengalu-alukan pelaburan Singapura di WPI adalah tidak benar sama sekali. - mks. sekali.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment