Azamin Amin Wed Jul 11, 07 02:32:19 PM
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Hrkh) - Kerajaan tidak bercadang untuk menyelaras gaji swasta seperti yang dituntut kerana bimbang akan mengundang pelbagai masalah khususnya menjejaskan dan mendatangkan kesan tidak baik kepada ekonomi negara.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Abdul Rahman Bakar, dengan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup RM300 bagi kakitangan swasta diselaraskan oleh kerajaan, akan mengundang pelbagai masalah kepada sebilangan syarikat-syarikat swasta terbabit.
Antara yang berbangkit jika peyelarasan tersebut dilaksanakan ialah akan meningkat kos syarikat, menyebabkan syarikat kecil ditutup, pelabur-pelabur asing tidak yakin untuk melabur kerana kos gaji yang tinggi dan pelabur yang sedia ada akan menutup perniagaan mereka berikutan kenaikan itu yang akhirnya akan menjejaskan ekonomi negara.
Ssecara tidak langsung katanya, ia akan mengakibatkan peluang pekerjaan menjadi terhad kerana kekurangan perniagaan dan syarikat luar negara yang bertapak di Malaysia ini hingga mengakibatkan pengganguran juga bertambah.
Kerajaan katanya, tidak akan melaksanakan sebarang tuntutan daripada pihak-pihak tertentu, sekiranya ia mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi atau kestabilan politik negara.
"Sekarang sudah ada sejumlah 335 syarikat gulung tikar, jika dilaksanakan kenaikan ini sudah pasti akan bertambah syarikat yang bermasalah kerana tidak berupaya menanggung kos yang tinggi," katanya dalam sidang Parlimen hari ini.
Katanya, kerajaan masih mengguna pakai Sistem Upah mengikut jenis pekerjaan yang diamalkan di negara-negara tertentu berbanding dengan jenis yang diamalkan di Amerika atau United Kingdom yang membayar gaji pekerja mengikut masa (jam).
"Tidak wajar gaji yang sama dituntut untuk pekerja asing berjumlah 1.2 juta yang ada di Malaysia," katanya.
Malah katanya, bagi kakitangan yang baru masuk ke sesebuah syarikat, tidak patut untuk mendapat gaji minima setinggi itu kerana masih tidak berpengalaman dan beliau juga mempersoalkan kembali bagaimana kesannya kepada majikan kecil yang mengupah amah atau pembantu rumah yang gaji mereka kini sekitar RM500.00.
Atas beberapa alasan yang diberikan adalah wajar untuk kerajaan tidak memenuhi tuntutan MTUC tersebut tetapi katanya masih lagi membuka ruang rundingan kepada MTUC untuk berbincang berhubung perkara itu.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Lee Sing Chooi dan Senator Tan Sri Jin Shamsudin di Dewan Negara, berhubung tuntutan MTUC dan faktor-faktor yang wajar dipertimbangkan Kerajaan dalam membuat keputusan ke atas tuntutan tersebut.
Sebelum ini, MTUC berpiket seluruh negara berhubung tuntutan gaji minimum dan elaun cola bagi pekerja swasta dan difahamkan bahawa permintaan MTUC itu sudah berlarutan sejak lapan tahun lagi, sehingga hari ini mereka masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment