Najib perlu disapina ke mahkamah
M Khaleel Kas Tue Jul 10, 07 12:39:26 PM
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Norza Zakaria bahawa Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua wajar dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah kenyataan yang amat biadap dan tidak mencerminkan pemahaman yang mendasar mengenai makna dan aturan demokrasi di Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK), Fariz Musa, "isu sebenar bukanlah gambar rekaan Tian Chua, sebaliknya adalah keperluan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk disapina ke mahkamah bagi menjadi saksi untuk menyelesaikan perjalanan kes ini.
"Keperluan beliau dipanggil sebagai saksi adalah penting bagi menjelaskan apakah peranan Altantuya dalam pembelian kapal selam Scorpene dan Agosta dari Perancis oleh kerajaan Malaysia dalam perjanjian bernilai hampir 1 bilion euro ( RM4.6 bilion),"katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahnya, AMK juga mempersoalkan kredibiliti Peguam Negara dan Barisan Pendakwaraya yang gagal untuk mengeluarkan arahan sapina ke atas Najib untuk menjadi saksi dalam perbicaraan ini.
"Kenyataan yang dibuat oleh Burmaa Oyunchimeg jelas membuktikan ada hubungkait di antara Najib dan Altantuya, tidak ada keraguan yang munasabah,"katanya.
Fariz turut mendakwa bahawa, gambar yang didakwa oleh Burmaa Oyunchimeg yang ditunjukkan oleh mendiang Altantuya kepada beliau jelas membuktikan bahawa sumpah Najib di Ijok adalah dusta dan palsu, kononnya beliau tidak mengenali Altantuya.
"AMK berpendirian tegas, bahawa isunya bukan ISA ke atas Tian, sebaliknya AMK mencabar Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussien mahupun Najib sendiri membawa kes ini ke mahkamah untuk mendakwa Tian atas tuduhan memfitnah.
"AMK amat kesal dengan sikap pihak Polis yang terus menerus menyiasat Tian apabila ada laporan polis yang dibuat oleh Kongres India Muslim SeMalaysia (Kimma), sebaliknya ratusan laporan polis mengenai pendedahan rasuah dan salahguna kuasa di kalangan elit politik pemerintah yang dibuat oleh pimpinan pembangkang khususnya KeADILan disenyapkan begitu saja,"jelasnya lebih lanjut. - mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment