Sunday, July 22, 2007

Matlamat tidak tercapai jika ceramah di markas - Naib Presiden

Basiron Abdul Wahab Mon Jul 23, 07 11:32:22 AM
KUALA LIPIS, 23 Julai (Hrkh) -Semua program parti khususnya ceramah umum sewajarnya dibuat di premis lain dan bukannya di markas bagi memudahkan orang ramai menghadirinya.
Menurut Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, sebarang kegiatan parti perlu mensasarkan kehadiran 30 peratus bukan ahli parti. Ini kerana PAS memerlukan sokongan dan undi daripada orang ramai tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.
"Jika PAS hanya mendapat undi daripada ahlinya sahaja, matlamat untuk menang pilihan raya tidak akan mencapai kerana jumlah ahli yang ada tidak mencukupi, sedangkan kemenangan pilihan raya berasaskan undi terbanyak yang diperolehi oleh sesebuah parti. Parti mana yang memperolehi undi terbanyak parti itulah akan menang," ujarnya ketika hadir dalam majlis makan durian di Kampung Cin, Benta baru-baru ini.
Turut bersama Mohamad Sabu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Zakaria Abdul Hamid.
Menurut beliau, PAS memangnya mempunyai ahli yang kuat dan istiqamah dalam perjuangan tetapi kekuatan itu belum mencukupi untuk menang di dalam pilihan raya tanpa undi dan sokongan daripada orang ramai termasuk daripada bukan Islam serta seperti masyarakat Cina, India dan orang asli.
Selain itu, PAS juga kata Mohamad, berjuang untuk mengembalikan demokrasi di negara ini. Ini kerana rakyat pernah mengecapi demokrasi semasa awal kemerdekaan dahulu.
"Negara kita pernah mengecapi demokrasi tetapi hari ini demokrasi semakin terhakis dan kita tuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulihkanya namun sehingga SPR belum bersedia membuat perubahan," katanya.
Sementara itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Pahang, Zakaria Abdul Hamid dalam ucapannya turut menyeru supaya penyokong BA memperhebatkan usaha menarik sokongan semua kepada BA.
"Carilah rakan-rakan dari kaum Cina , India dan lain-lain untuk menjadi pengundi kita, kita memerlukan sokongan mereka," katanya.
Zakaria menyifatkan serangan melampau media terutama dariapada akhbar kumpulan Utusan Melayu terhadap partinya adalah agenda akhbar berkenaan untuk melaga-laga ahli PKR serta melemahkan PKR walaupun keadaan sebenar di dalam PKR tidak sebagaimana dilapor media berkenaan.
Beliau mengalu-alukan usul daripada salah satu bahagian Umno di Pahang yang mengusulkan supaya Umno diharamkan menerima bekas ahli PKR menyertai parti itu.
"Usul itu mungkin baik untuk KeADILan, kerana selepas ini tiada spekulasi anggota KeADILan menyertai Umno," katanya.
Zakaria mencadangkan supaya ahli BA mengambil tindakan tegas terhadap akhbar berkenaan dengan cara memboikot.
"Saya cadangkan ahli รข€“ahli BA memboikot (tidak membeli) akhbar kumpulan Utusan bagi mengajarnya sebagaimana pada tahun 1998 dahulu," katanya.
Zakaria dalam ucapannya membayangkan kemungkinan akan berlaku perubahan nama Barisan Alternatif (BA) kepada 'Barisan Rakyat' kerana ia lebih mengambarkan perjuangan parti-parti pembangkang ini adalah perjuangan rakyat.

No comments: