Wan Nordin Wan Yaacob Thu Jul 05, 07 01:20:03 PM
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu takut atau merasakan adanya akta yang menghalang badan itu untuk melakukan perubahan ke arah pemberishan perjalanan pilihan raya memandangkan badan itu terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu dan bukannya kuasa eksekutif.
Menurut Abdul Khalid, kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa badan itu terhalang dengan akta-akta tertentu yang bukan di bawah kuasa SPR adalah satu kenyataan yang tidak sepatutnya datang dari sebuah suruhanjaya yang bebas.
"SPR boleh membuat perubahan tertentu seperti celup jari guna dakwat, hapuskan undi pos dan wujudkan peti undi lutsinar yang sebenarnya tidak terikat dengan akta-akta yang dikatakan menghalang SPR dari melakukan perubahan,"tegas Abdul Khalid ketika mengadakan sidang medianya di Ibu Pejabat KeADILan dekat Brickfields hari ini.
Menurut Abdul Khalid, Rashid dalam satu pertemuan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 3 Julai lalu menyatakan pelaksanaan tugas SPR selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 13, perlembagaan-perlembagaan negeri, Akta Pilihan Raya 1958 (akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Perjalanan Pilihan Raya 1981, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Daftar Pemilih) dan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Namun kata Abdul Khalid, Rashid mengakui bahawa pelaksanaan tersebut bercanggah dengan akta-akta lain seperti Akta Polis 1961, Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (akta 301), Akta Rahisa Rasmi 1972 (akta 88), Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588), Kanun Kesiksaan (akta 574), Kanun Tatacara Jenayah (akta 593) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (akta 171).
Katanya akta yang disebutkan oleh Rashid sebagai satu penghalang kepada pelaksanaan proses demokrasi itu bukanlah akta yang terletak di bawah SPR kerana SPR itu sendiri terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu dan bukannya kuasa eksekutif (Perdana Menteri, Menteri atau Kabinet).
Beliau menyifatkan alasan yang diberikan Rashid itu tidak praktikal, tetapi jika benar dakwaan bahawa akta itu mengekang pelaksanaan demokrasi yang ingin dilakukan SPR, kerajaan sendiri sebagai kuasa eksekutif perlu meneliti dan memansuhkan akta yang bercanggah dengan pelaksanaan demokrasi.
Justeru KeADILan menggesa SPR berusaha lebih dalam memastikan demokrasi di negara ini terjamin khususnya dalam memastikan rakyat dapat memilih kerajaan dalam pilihan raya yang bersih dan adil, kata Abdul Khalid.
Bercakap mengenai pertemuan antara Bersih dan SPR, beliau menyatakan dalam pertemuan itu Bersih diwakili oleh pelbagai wakil parti politik termasuk PAS, KeADILan dan DAP selain wakil pelbagai NGO yang bersama Bersih.
Pertemuan itu katanya adalah usaha Bersih bagi mendesak SPR melakukan beberapa perubahan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini yang dilihat semakin kotor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment