Wednesday, July 4, 2007

Pendedahan tiada prosedur pemeriksaan bahan letupan UTK timbul tanda tanya

Saidah Hairan Thu Jul 05, 07 11:25:44 AM
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - Pengakuan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) bahawa tiada prosedur dalam UTK untuk membuat pemeriksaan bahan letupan, peluru dan senjata api di kuarters atau kediaman peribadi pegawai dan anggotanya, jelas membuktikan bom untuk menghancurkan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu datang dari pihak polis.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar menegaskan, pendedahan itu membuktikan bukan sahaja kelemahan pihak polis Malaysia tetapi menambahkan lagi imej buruk negara dan anggota keselamatan.
Menurut beliau, soal keselamatan dalam PDRM terlalu lemah dan pengakuan itu membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh mengambil lebihan bahan letupan selepas UTK membuat latihan.
Bertambah malang katanya, apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih mengekalkan khidmat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata, sepatutnya perkhidmatan Musa tidak disambung kerana imej beliau selama ini cukup memalukan kerajaan, negara serta rakyat.
Ketika perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, saksi ke-11 pihak pendakwa, Timbalan Komander UTK, Asisten Komisioner Mastor Mohd Ariff, 45, juga mengakui tiada prosedur dalam UTK bagi membuat pemeriksaan bahan letupan, peluru dan senjata api di kuarters atau kediaman peribadi pegawai dan anggotanya.
Mengulas pendedahan itu, Mahfuz berkata, rakyat sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap polis yang tidak boleh memberi jaminan keselamatan rakyat dan negara.
Perbicaraan hari ke-13 kes pembunuhan itu juga diberitahu, anggota UTK dilatih untuk melaksanakan tugas yang diarah pegawai atasan tanpa sebarang soal, seperti robot.
Mastor ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, berkata, mengikut prosedur UTK, bahan letupan yang tidak habis digunakan sepatutnya dipulangkan semula ke stor senjata.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahan letupan yang tidak habis digunakan, tidak dipulangkan ke stor senjata kerana tiada catatan mengenai kuantiti yang digunakan sewaktu latihan.
Beliau bersetuju dengan Tun Abdul Majid proses pemulangan lebihan bahan letupan itu hanya berasaskan prinsip kepercayaan.
Mastor yang sudah 25 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkata beliau juga tidak tahu jika ada pegawai atau anggota UTK yang menyimpan peluru, senjata atau bahan letupan di rumah masing-masing.
“Permohonan untuk mengeluarkan bahan ini dari stor UTK dibuat oleh pasukan yang ingin menjalani latihan, biasanya diketuai pegawai berpangkat Deputi Superintendan (DSP).
“Bagaimanapun, bahan itu tidak semestinya diambil oleh pegawai berkenaan. Mana-mana anggota dalam kumpulannya juga boleh mengambilnya dengan syarat membawa bersama surat permohonan atas nama pegawai terbabit,” katanya.
Mastor berkata, setiap bahan letupan yang dibawa keluar dari stor senjata untuk kegunaan latihan perlu dicatat kuantitinya dan mengikut pengalamannya, kawal selia juga dibuat terhadap pegawai dan anggota ketika latihan.
Terdahulu dalam keterangannya, Mastor berkata, lima jenis bahan letupan disimpan dalam stor UTK, iaitu PE (plastic explosives), stun-grenade, detonator cord, detonater thunder flash dan CLC (cutting liner charge).

No comments: