Monday, July 2, 2007

Petronas perlu wujudkan 'supply base' gas Kelantan

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Jul 02, 07 01:09:57 PM
KUALA LUMPUR, 2 Jul (Hrkh) - Anggota Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar menggesa kerajaan mengarahkan Petronas mengkaji secara serius supaya badan itu mewujudkan 'supply base' di perairan Kelantan yang dikatakan memiliki bekalan gas yang mampu menampung permintaan pengguna tempatan.
Menurut Kamarudin, perairan Kelantan yang dinamakan Cakerawala itu dikatakan memiliki bekalan gas yang cukup untuk menampung permintaan pengguna tatkala negara dikatakan kekurangan bekalan gas.
Beliau berkata demikian ketika mengutarakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdul Rahman Suliman (Senator) dalam sesi soalan dan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
"Saya terperanjat sebab kita diberitahu tentang kekurangan bekalan gas untuk pengguna dalam Malaysia.Setakat saya tahu dan dengar di lautan berdekatan Kelantan ada bekalan gas di kawasan bernama cakerawala,"katanya.
"Jadi gas dari kawasan ini atau Gas Kelantan sepatutnya cukup untuk bekal keperluan seluruh negara, tetapi saya dengar punca masalahnya ialah keenganan Petronas untuk mengwujudkan pengkalan-pengkalan untuk 'supply base' untuk efisyenkan pengeluaran gas di kawasan ini,"tegas Kamarudin yang juga Setiausaha Agung PAS.
"Jadi apakah kementerian ini bercadang mengarahkan Petronas mengkaji dengan serius sebarang kemungkinan mewujudkan 'supply base' ini untuk tampung keperluan gas yang banyak dan pengeluaran yang efisyen di Kelantan ini,"katanya.
Sementara itu Abdul Rahman Suliman yang menjawab soalan Kamarudin itu berkata, beliau tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Tumpat itu mengenai gas di Cakerawala.
Beliau juga berkata apa yang diperkatakan oleh Kamarudin itu bukanlah masalah yang besar kerana dalam mengusahakan kawasan itu Malaysia juga tertakluk dengan perjanjian antara sempadan dengan kerajaan Thailand. - mks.

No comments: