Wednesday, August 1, 2007

Negara Islam hanya propaganda politik Umno

Anis Nazri Wed Aug 01, 07 12:57:55 PM
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Sekali lagi, isu Malaysia sebagai sebuah negara Islam dimainkan semula oleh Umno dalam keadaan mereka hilang punca, kesan dari tekanan dan kehendak rakyat yang ingin melihat kembali praktikaliti Islam sebagai cara hidup yang sebenar.
Ini nyata sekali terutamanya apabila Islam Hadhari yang ditaja oleh Umno tidak dapat mengisi kekosongan dan kelompangan yang diperlukan oleh umat Islam di Malaysia.
Pengerusi Lajnah Penerangan, Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hassan Mohamood, berkata tindakan mengimejkan Malaysia dengan imej-imej tertentu adalah hanya propaganda politik semata-mata. Ia seumpama cuba untuk menutup sesuatu kepincangan yang wujud.
"Ini kerana topik perbahasan sebenar isu negara Islam semenjak zaman Negara Islam Madinah adalah berkenaan pelaksanaan hukum-hakam syariat Islam, walhal yang cuba ditonjolkan di sini hanya dari sudut penamaan dan penjenamaan negara Islam dan dalam masa yang sama cuba memperlihatkan bahawa pelaksanaan Syariah Islam bukan agenda utama sesebuah Negara Islam," tegas beliau.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar Berita Harian (18 Julai 2007) hasil Seminar Peranan Negara Islam dalam Dunia Global anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), yang menyamatarafkan Malaysia dengan Madinah.
Katanya, dalam masa yang sama pelaksanaan perundangan dan prinsip Islam digambarkan sebagai tidak sesuai untuk orang bukan Islam, sedangkan di sebalik sejarah Negara Islam Madinah, orang Islam dan bukan Islam disatukan di bawah piagam Madinah yang sumbernya adalah nas Al-Quran dan As-Sunnah.
"Sedangkan Islam adalah rujukan utama di Madinah dan Madinah pada masa itu lebih majmuk daripada Malaysia yang mana penduduk Madinah pada peringkat awal terdiri sekitar 4000 penduduk pelbagai kaum dan pelbagai kabilah manakala umat Islam pada ketika itu hanya sekitar 1000 orang sahaja," jelas beliau.
Bagaimanapun, tegas Hassan, di sebalik kepelbagaian kaum di Malaysia, ia cuba untuk disatukan di bawah perlembagaan dan perundangan yang diambil daripada British, iaitu dasar pecah dan perintah yang telah menggarapkan kuasa berpaksikan persepakatan kaum yang akhirnya membentuk suara majoriti di dalam negara.
Katanya, dari sudut undang-undang contohnya, menggugurkan sebahagian hak-hak Islam seperti hanya tidak membenarkan pendaftaran murtad sebagaimana kes Azalina Jailani, walhal murtad itu sendiri tidak dianggap sebagai satu kesalahan serius.
Beliau turut menjelaskan bahawa sistem ekonomi, iaitu sistem percukaian Barat yang zalim seperti cukai tanah kediaman, rumah kediaman dan lain-lain jelas bercanggah dengan sistem kutipan di dalam negara Islam.
Justeru, katanya Islam datang menghapuskan cukai yang zalim dan digantikan dengan zakat, kharaj dan seumpamanya, tetapi negara kita meneruskan dasar penjajahan yang telah menggantikan sistem Islam ini dengan sistem percukaian yang cukup zalim melalui angkatan bersenjata.
"Apabila kerajaan sekarang meneruskan dasar penjajah ini, akibatnya ramai golongan miskin Islam dan bukan Islam terabai. Justeru sistem cukai moden ini tidak mewajibkan kerajaan memperuntukkan jumlah yang mencukupi untuk diagihkan secara lansung kepada orang miskin.
Ia berbeza dengan sistem Islam, di mana zakat diambil daripada orang kaya Islam untuk diagihkan kepada orang miskin Islam manakala jizyah diambil daripada orang kaya bukan Islam untuk diagihkan kepada orang miskin bukan Islam, bukan untuk dibuat istana Perdana Menteri, Menteri-Menteri atau projek-projek yang hakikatnya menguntungkan segelintir sahaja," tegas beliau.
Hassan turut mengatakan bahawa dalam melindungi hak-hak asasi rakyat seperti hak asasi wanita, hak keadilan bersuara dan sebagainya, pelaksanaan di Malaysia adalah jauh bercanggah dengan negara.
Jelas beliau, sebagai contoh wanita yang bertugas sebagai guru di dalam kursus dipaksa untuk menandatangani perjanjian untuk tidak mengandung. Jika didapati mengandung selepas menandatangani perjanjian tersebut, mereka akan dipecat.
"Sebenarnya, jika hendak disenaraikan perbezaan antara Malaysia dan Madinah terlalu banyak. Persoalan sekarang ialah, untuk apakah kerajaan Barisan Nasional yang diketuai Umno cuba untuk mengimejkan Malaysia dengan imej-imej Islam, sedangkan perbahasan sebenar negara Islam Madinah di zaman Nabi s.a.w. ialah sebagai paksi atau syarat penting perlaksanaan hukum-hakam Islam," tegas beliau.
Jelasnya, ia dilihat lebih mementingkan perbahasan dari sudut apakah imej negara Islam dan dalam masa yang sama seolah-olah cuba memperlihatkan perlaksanaan syariat Islam bukan agenda utama dan penting di dalam negara Islam.
Justeru, Dewan Ulama PAS Pusat sedia untuk berdialog dan bermuzakarah secara baik dan ilmiah dengan badan-badan agama berautoriti daripada BN dan kerajaan dalam isu “Kepentingan Dan Hubungkait Antara Penegakan Negara dan Perlaksanaan Hukum Syariat” yang menjuruskan sesebuah negara itu layak bergelar negara Islam sebagaimana negara Madinah.
Dilihat dari mata kasar, tegas beliau , Umno memang tidak akan mampu untuk melaksanakan apa yang dituntut oleh sebuah negara Islam yang sebenar. Ini kerana, jika UMNO melaksanakan tuntutan negara Islam, maka ia akan berhadapan dengan tentangan dan kecaman di peringkat parti-parti komponen BN, amnya dan dalaman Umno itu sendiri khususnya. Inilah kesan daripada caturan licik penjajah apabila menyerahkan kuasa kepada Umno melalui perjanjian kemerdekaan.
Kesimpulannya, pihak Dewan Ulamak PAS Pusat merasa kesal justeru Umno menggunakan Islam untuk kepentingan politik murahan guna bagi meraih undi di dalam pilihan raya tidak lama lagi.
"Ini bukan tuduhan, tetapi dibuktikan oleh banyak fakta, antara terkini ialah sikap 'double standard' Perdana Menteri sendiri yang cuba mengelirukan rakyat dengan mengimejkan bahawa beliau adalah tokoh Islam, walhal beliau sendiri mengeluarkan kenyataan yang amat bercanggah dengan Islam dan undang-undang Syariah di Malaysia tatkala berkata: “Keluar Islam bukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Ia pernah berlaku sebelum ini. Untuk sesiapa yang tidak mahu beragama Islam lagi, apa yang boleh kita buat?”
Justeru, beliau menyeru ahli agama yang berada di dalam Umno supaya berdialog dan bermuzakarah dengan Dewan Ulama PAS Pusat bagi merungkaikan persoalan negara Islam. - mks.

No comments: