Ekmal Yusof Tue Jul 03, 07 09:49:23 AM
KUALA KANGSAR, 3 Julai (Hrkh) –Sikap kerajaan yang lepas tangan dengan tidak membantu rakyat dari segi kewangan untuk melanjutkan pelajaran amatlah dikesali.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dakwaan kerajaan yang menyatakan agensi-agensinya telah memberikan biasiswa kepada rakyat tidak tepat sama sekali.
“Bagaimana dengan majoriti pelajar Melayu lainnya?” tanya Ahli Patlimen Kubang Kerian itu ketika berceramah di Kampung Talang dekat sini malam tadi.
Dalam majlis tersebut, beliau menyeru kepada kerajaan untuk memberikan biasiswa kepada setiap pelajar bagi mendapatkan pendidikan tinggi tanpa mengira asal usul dan latar belakang mereka.
Tegasnya, jika kerajaan boleh membazirkan berjuta-juta ringgit duit rakyat dalam perkara kurang faedah, mengapa tidak digunakan wang tersebut untuk pelaburan ilmu seperti memberikan biasiswa kepada para pelajar yang akan menjadi benteng negara dan kerajaan kelak.
Katanya, walaupun kini ada segelintir agensi kerajaan seperti Petronas, Mara dan Bank Negara memberi biasiswa tetapi persoalannya tidak ramai yang dapat memohon dan berjaya mendapatnya.
“Hanya segelintir sahaja yang dapat. Hanya sebilangan kecil anak-anak Melayu cemerlang dalam pelajarannya yang dapat,” ujarnya.
Soalnya, bagaimana pula dengan ribuan pelajar Melayu lain yang kurang bernasib baik dalam pencapaian akademik dan dari latar keluarga yang susah di kampung-kampung dan di ceruk-ceruk desa?
Akhirnya katanya, atas sebab kemiskinan dan tidak berjaya terpilih mendapatkan biasiswa, maka tanpa pilihan mereka terpaksa mendapat pinjaman daripada Tabung pinjaman PTPTN.
Dan malangnya, apabila para pelajar tidak dapat membayar kembali pinjaman tersebut, mereka akan diugut sehingga dituntut ke mahkamah,katanya lagi. - mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment