Anis Nazri Sat Jul 14, 07 08:54:12 AM
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Rupanya bukan seorang pimpinan Umno yang mengakui parti Melayu terbesar itu takut menyuarakan perkara sensitif, seperti DEB, tetapi ramai lagi yang turut diselubungi kebimbangan tersebut.
Bermula dengan Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub, yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno, ia disusuli pula beberapa pimpinan dan bekas pimpinan Umno, termasuk bekas Setiausaha Umno, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub; AMT, Dato' Hamzah Zainuddin; dan Ketua Penerangan Kelab Ahli Parlimen BN, Dato' Mohd Alwi Che Mat.
"Kenyataan beberapa orang besar Umno ini yang bersetuju dengan kenyataan Adnan bermaksud mereka bersetuju bahawa Umno penakut. Kesimpulan kepada pandangan pimpinan ini adalah kepimpinan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selama ini penakut dan lemah," tegas Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat kepada Harakahdaily, hari ini.
Sebelum ini, Adnan dalam kenyataannya dalam sebuah akhbar harian berkata Umno belum bersedia membincangkan isu sensitif termasuk DEB secara terbuka kerana ia kononnya boleh menimbulkan salah faham dan isu perkauman.
Ekoran kenyataan Adnan itu, beberapa pimpinan dan bekas pimpinan Umno turut bersetuju dengan kenyataan itu, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai penakut.
Dalam pada itu, Suhaizan turut mempersoalkan sama ada mampukah Umno bertindak lebih tegas dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu atau bumiputera jika selama ini mereka yang mengkhianati perjuangan Melayu.
"Mampukah Umno berkokok panjang sedangkan ekornya penuh dengan najis seperti politik wang, kronisme, dendam, dan saling benci-membenci?" soal beliau.
Sebagai contoh, tegasnya isu biasiswa yang berhak diterima orang Melayu atau bumiputera telah ditukar menjadi pinjaman, iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), yang mengakibatkan pelajar lepasan universiti dibebani dengan hutang sebelum mereka mendapat pekerjaan.
Justeru, beliau mencabar Umno membuktikan kepada rakyat ini, khususnya orang Melayu dengan mengembalikan semua tanah-tanah rezab Melayu, mengembalikan pinjaman PTPTN kepada biasiswa, serta mengembalikan dasar-dasar tegas dalam DEB.
"Pemuda Umno jangan hanya berani menghunus keris tidak bersarung dalam Perhimpunan Pemuda Umno untuk membuktikan kesungguhan memperjuangkan nasib orang Melayu. Jika Umno tetap dengan pendirian penakutnya, maka adalah lebih baik mengundur diri dari menjadi pemerintah di negara ini," tegas Suhaizan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment