Johari Jaafar Sun Jul 08, 07 11:35:03 AM
IPOH, 8 Julai (Hrkh) - Kehadiran hanya seorang ADUN dari Manjoi jelas mencerminkan sikap waki lwakil rakyat Umno yang tidak berminat untuk mendengar Muzakarah Ulama 2007, yang mungkin dianggap oleh mereka tidak begitu penting berbanding dengan seminar-seminar ekonomi dan perniagaan yang mendatangkan keuntungan kepada mereka.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Azli Musa, ketika mengulas kenyataan Mufti Perak, Datuk Seri Haji Harussani Zakaria, yang melahirkan rasa dukacita kerana muzakarah tersebut tidak mendapat sambutan ahli politik di negeri ini
Mufti Perak itu ketika berucap merasmikan Muzakarah Ulama 2007, menegaskan tujuan muzakarah tersebut menjemput semua wakil rakyat yang beragama Islam ialah supaya dapat bersama-sama mengerluarkan idea demi kebaikan ummah.
“Kalau kita (ulama dan umara) dapat bekerjasama sudah pasti akan dapat kesan yang lebih baik hasil daripada muzakarah ini. Kita sudah menjemput semua Ahli Parlimen Perak tetapi mereka tidak hadir, saya sangat dukacita,” ujar Harussani lagi.
“Saya akui memang hanya seorang wakil rakyat Umno yang hadir pada majlis itu, iaitu Adun Manjoi kerana saya sendiri hadir mengikuti Muzakarah Ulama tersebut,” kata Ustaz Azli.
“Ini jelas menunjukkan sikap wakil rakyat Umno yang tidak peka dengan isu-isu agama dan melibatkan diri serta mengerluarkan idea untuk kebaikan ummah, “ ujarnya lagi.
Menurut beliau, sepatutnya wakil-wakil rakyat dari Umno di negeri ini melibatkan diri dengan muzakarah berkenaan kerana segala hasil perbincangan di majlis tersebut boleh diketengahkan di dalam Dewan Undangan Negeri Perak ketika mereka berucap.
Tetapi amat tidak wajar sekali Muzakarah Ulama 2007 tidak mendapat sambutan daripada golongan politik khususnya dari Umno kerana muzakarah tersebut dianjurkan oleh Jabatan Mufti Perak, bukannya oleh parti politik.
“Sepatutnya sebagai wakil rakyat mereka perlu merasa sensitif dengan muzakarah seperti ini, lebih-lebih lagi ianya menyentuh persoalan ulama dan umara, jika muzakarah seumpama ini pun mereka tidak berminat, bagaimana kita hendak harapkan mereka mempertahankan maruah Islam dan kesucian Islam daripada dinodai oleh musuh-musuh Islam,” tegasnya.
Beliau berharap wakil rakyat dan ahli agama dapat duduk semeja dan berbincang mengenai apa juga isu mengenai Islam dan kepentingannya kepada ummat Islam sekali gus mendaulatkan Islam di negara ini. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment